Tuntut Najib tunai janji: Polis tahan peserta demo
Seorang peserta demonstrasi ditahan di luar bangunan parlimen hari ini ketika kumpulannya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji untuk menyediakan rumah bagi penduduk rumah panjang di Jinjang Utara.
Ketika itu peserta perhimpunan berkenaan telah menyerahkan memorandum mereka kepada pegawai khas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Norzihan Tambi, manakala ketua kumpulan tersebut, Mikael Iskhandaar sedang bercakap dengan pemberita di pintu Parlimen.
Polis memberitahu Mikael untuk beredar namun beliau enggan berbuat demikian, sebaliknya meminta polis menunggunya selesai bercakap dengan wartawan.
Setelah memberikan tiga kali amaran, polis akhirnya menangkap dan menggari lelaki itu.
Mikhael, 40, merupakan pengerusi jawatankuasa bertindak mengenai isu rumah panjang Jinjang Utara dan juga naib ketua penyelaras NGO Jingga 13.
Beliau mendakwa rumah ibunya adalah antara yang terjejas oleh masalah itu.
Sejak kira-kira jam 8.45 pagi, beliau dan sekumpulan kira-kira 25 peserta demonstrasi berada di luar Parlimen untuk menyatakan bantahan dan menyerahkan surat bagi menggesa campur tangan Najib.
"Najib berjanji untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada 1,000 penduduk Jinjang Utara. Malangnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berbuat demikian. Oleh itu, kami datang untuk menuntut janji perdana menteri," menurut surat itu.
Para peserta perhimpunan meminta diberikan kebenaran untuk menyerahkan surat berkenaan kepada perdana menteri atau pegawainya tetapi diberitahu bahawa beliau tidak hadir di Parlimen.
Mereka kemudian dimaklumkan bahawa polis hanya membenarkan lima orang wakil untuk tiba ke pintu Parlimen.
Kumpulan itu akhirnya bersetuju dengan syarat berkenaan dan menyampaikan surat itu kepada pegawai khas Zahid (foto), supaya ia dapat disampaikan kepada perdana menteri.
Usaha terakhir
Mikhael memberitahu wartawan bahawa protes itu adalah langkah terakhir selepas usaha membawa isu itu ke ibu pejabat DBKL berakhir dengan sia-sia.
Katanya, rumah panjang berkenaan dibina pada tahun 1992 sebagai kawasan perumahan sementara bagi penduduk setinggan yang tinggal berdekatan landasan kereta api di sekitar Kuala Lumpur, seperti Segambut, Segambut Dalam, Kepong, Jalan Ipoh dan Jalan Pudu.
Selain itu ada juga penduduk yang di tempatkan di situ berikutan bencana seperti banjir dan kebakaran, katanya.
Mikhael berkata DBKL berjanji pada masa itu untuk menyediakan rumah sebagai pampasan dalam masa tiga hingga lima tahun.
Bagaimanapun penduduk berasa kecewa kerana pada tahun 2010 mereka hanya ditawarkan untuk membeli rumah mampu milik, dan bukannya diberi sebagai ganti rugi.
Sementara itu, Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang, yang datang menemui peserta demonstrasi menggesa kerajaan menyelesaikan isu itu.
Walaupun Jinjang Utara terletak di kawasan Parlimen Kepong, Chua berkata beliau melawat kawasan itu kerana ia berada di sempadan kawasannya dan keadaannya seperti kem pelarian.
Beliau berkata rumah panjang berkenaan merupakan perumahan sementara untuk penduduk setinggan yang telah bersetuju dengan cadangan penempatan semula DBKL, sementara menunggu penempatan semula.
Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang menentang penempatan semula itu telah menerima pampasan mereka di mahkamah, manakala kira-kira separuh daripada mereka yang menerima tawaran DBKL kini masih hampa dengan keadaan menimpa mereka.

