Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mendakwa beliau membuat perjanjian yuran kontingensi dengan peguamnya, Manjeet Singh Dhillon dan Americk Singh kerana mewakilinya dalam saman fitnah terhadap Utusan Malaysia.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa peguam berkenaan telah setuju dengan syarat 50-50 daripada ganti rugi yang dianugerahkan jika menteri besar itu memenangi kes tersebut.

Bagaimanapun, kata Adnan, peguamnya telah mengenakan caj yuran guaman lebih RM200,000, yang telah dibayarnya.

"Perkara itu sepatutnya pergi ke peringkat rayuan, tetapi kes itu diselesaikan di luar mahkamah," katanya.

Berikutan itu, Adnan berkata peguamnya mengenakan caj lain lebih daripada RM200,000.

Menteri Besar itu menegaskan bahawa beliau tidak melarikan diri daripada isu itu tetapi memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah demi kepentingan awam.

"Saya tidak akan lari daripada membuat bayaran tetapi saya tidak akan 'diperas' secara politik untuk membuat bayaran.

"Bayaran yang dituntut daripada saya adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah bagi saman fitnah yang telah diselesaikan. Bayaran setengah juta ringgit tidak dapat diterima.

"Yuran guaman yang mahal itu akan menghalang orang lain untuk mendapatkan keadilan di mahkamah," katanya.

Sehubungan itu Adnan berkata beliau terpaksa mencabar kes itu bagi membawa perkara itu kepada perhatian rakyat.

"Yuran guaman yang terlalu tinggi akan menghalang orang biasa mendapatkan keadilan. Adalah dikatakan bahawa keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. Tetapi keadilan yang 'mahal' juga adalah keadilan yang dinafikan.

"Saya berjuang untuk orang ramai dan membawa perhatian kepada ketidakadilan bagi 'keadilan yang mahal' ini. Keadilan tidak boleh menjadi mahal yang mana hanya orang kaya mampu memilikinya," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Manjeet dan Americk memfailkan saman terhadap Adnan untuk bayaran guaman yang belum dibayar berjumlah RM214,825.

Kedua-dua mereka memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Januari dan perbicaraan ditetapkan pada 26 April.