Ketua Polis KL enggan komen isu Rizalman
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim enggan mengulas mengenai penahanan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang mendakwa bahawa dirinya ‘diperangkap” susulan serbuan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
"Oh, saya tidak mahu beri banyak kenyataan. Tidak ada komen, jadi okey, terima kasih," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Wartawan ingin menyoalnya mengenai penahanan Rizalman, bersama-sama dengan rakan-rakannya di sebuah kelab malam di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada awal pagi Isnin.
Rizalman, Selasa lalu, tampil memberi penjelasan mendakwa serbuan oleh polis dan SPRM itu "sangat mencurigakan".
Katanya, pihak berkuasa terus menuju ke bilik karaoke 202 tempat beliau dan rakan-rakannya sedang berhibur tanpa memeriksa bilik-bilik lain.
Mereka kemudiannya di bawa ke balai polis untuk pemeriksaan air kencing dengan disaksikan sendiri oleh pegawai SPR.
Beliau turut menegaskan bahawa dia dan rakan-rakannya hanya memesan dan minum Nescafe 3-in-1 ketika di kelab malam itu serta tidak mengambil apa-apa dadah.
Baca Sumber: Rizalman ditahan dalam operasi SPRM
Walau bagaimanapun, sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, semua mereka gagal dalam ujian air kencing.
Pemeriksaan awal mendapati suspek terbabit positif dadah amphetamine dan methamphetamine.
Rizalman pada sidang akhbarnya, semalam tidak menolak kemungkinan beliau disabotaj dan kejadian itu adalah satu perangkap untuk menjejaskan peluangnya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
Secara tradisi, sejak lima penggal lalu, BN menyerahkan kerusi itu kepada MCA untuk ditandingi tetapi akhir-akhir ini akar umbi Umno melobi agar kerusi majoriti Melayu berkenaan diberikan kepada parti tersebut.

