Lepas bubar jangan sebar berita palsu, pesan Azalina
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau terkejut dengan pembubaran sementara dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana gagal membekalkan dokumen yang diminta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Azalina juga aneh bagaimana perkara itu boleh berlaku sedangkan BERSATU dipimpin individu berpengalaman dalam bidang politik, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya agak terperanjatlah kerana (BERSATU) terdiri dari mantan menteri kabinet, mantan orang politik yang pernah pegang jawatan dan ada pernah jadi mantan perdana menteri.
“Jadi saya terperanjat mereka tak tahu prosedur undang-undang,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.
Selain itu Azalina juga pelik mengapa tidak ada peguam BERSATU yang menasihatkan parti itu berhubung proses yang perlu dilalui.
“Itulah saya tengok bayak logo dah pakai, baju dah pakai, bendera dah naik saya tak tahu dan tak faham peguam mereka nasihatkan mereka telah menasihati mereka dengan sepenuhnya.
“(Atau) mungkin satu kemungkinan yang mereka fikir, mereka tak perlu ikut undang-undang, itu mungkin mereka punya pemikiran saya tak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan ROS yang membubarkan sementara BERSATU selepas parti itu dikatakan gagal membekalkan pertubuhan itu dengan dokumen dan maklumat yang diperlukan.
ROS berkata pembatalan pendaftaran BERSATU akan kekal dalam masa 30 hari jika parti itu gagal mematuhi syarat ditetapkan atau tidak membuat rayuan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata BERSATU seharusnya mengikut undang-undang yang telah ditetapkan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
“Tak begitu manis kalau mereka buat tuduhan tak tepat (kepada mana-mana pihak) dan jangan banyak nak keluarkan fake news, kita ada undang-undang fake news. Jangan kata mereka dah dianiaya,” katanya.

