JKJR jangka kemalangan meningkat pada musim p'raya
Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menjangkakan kadar kemalangan jalan raya meningkat berbanding hari biasa sepanjang musim pilihan raya umum ke-14 yang akan tiba nanti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Rosli Isa berkata antara faktor peningkatan adalah rata-rata yang terlibat dalam kempen akan memandu dalam keadaan kurang tidur, keletihan dan tergesa-gesa ke tempat berkempen.
"Berdasarkan statistik dan pemantauan yang dilakukan JKJR pada pilihan raya lalu, memang terdapat peningkatan terutama musim berkempen sekurang-kurangnya sekali ganda.
"Jadi saya nasihatkan kepada semua ahli parti politik, jentera kempen dan orang ramai agar lebih berhati-hati terutama ketika memandu pada waktu malam," katanya selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Petron bersama pelajar sekolah peringkat negeri Kedah 2018 di Sungai Petani hari ini.
Pada program tersebut, sebanyak 10 buah sekolah terlibat dengan kehadiran lebih 180 pelajar serta pelbagai agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Petron Malaysia.
Sementara itu, Rosli menyifatkan penurunan statistik kes kemalangan di daerah Kuala Muda daripada 6,672 kes pada tahun lepas berbanding 6,747 pada 2016 menunjukkan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan berjaya.
Dalam pada itu, Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Korporat Petron, Lokman Hani berkata, sasaran utama tanggungjawab sosial korporat mereka pada tahun ini adalah memberi kesedaran mengenai titik buta (blind spot) kepada pengguna jalan raya.
"Kita mahu tingkatkan kesedaran mengenai titik buta ini kerana ia adalah bahaya utama yang dihadapi oleh penunggang motosikal ketika memotong kenderaan besar. Jadi, kita harap kemalangan yang berpunca daripada titik buta ini akan dapat dielakkan," katanya.
- Bernama

