Polis S'pura sahkan ancaman bom dalam penerbangan Scott
Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini mengesahkan bahawa satu laporan telah diterima mengenai ancaman bom yang dibuat oleh seorang penumpang dalam penerbangan Scott menuju ke Hat Yai.
Penerbangan TR634 berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi, menurut catatan SPF dalam laman Facebooknya.
“Pegawai polis sedang menjalankan pemeriksaan. Lebih banyak maklumat terkini akan menyusul,” kata SPF.
** TR ialah kod penerbangan bagi Scoot, syarikat penerbangan tambang murah Singapura milik Singapore Airlines.
Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan bahawa penerbangan Scoot ke HatYai, Thailand, berpatah balik ke Lapangan Terbang Changi selepas pihak berkuasa diberitahu mengenai ancaman bom itu yang kemudian terbukti palsu.
Laporan itu, yang memetik sumber-sumber berkata, Penerbangan TR634 yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 1.20 tengah hari, diiringi oleh dua pejuang Tentera Udara Singapura semasa berpatah balik, sebahagian daripada protokol bagi insiden seperti itu.
Menurut laporan, Scott berkata pesawat tersebut selamat mendarat pada 3.23 petang.
"Kita bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi langkah susulan demi memastikan keselamatan penumpang," syarikat penerbangan itu dipetik sebagai berkata.
Dalam maklumat terkini, SPF berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana membuat ancaman bom.
Terdahulu, SPF telah memeriksa pesawat itu dan bagasi lelaki tersebut dan dua rakannya yang mengikutnya dalam perjalanan.
- Bernama

