Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduh SPR tipu, satu penghinaan terhadap petugas p'raya - Hashim
Diterbitkan:  Apr 5, 2018 6:10 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Tuduhan dan persepsi bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penipuan semasa pilihan raya adalah tidak berasas dan tidak wajar, malah satu penghinaan kepada petugas pilihan raya yang dilantik dalam kalangan rakyat dan ejen parti politik itu sendiri.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata semua urusan pilihan raya di negara ini tidak dilaksanakan secara bersendirian oleh SPR, sebaliknya dikendalikan secara bersama dengan rakyat Malaysia.

Menurutnya, bagi mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), SPR melantik lebih 250,000 petugas pilihan raya sementara yang terdiri daripada orang awam, selain dibantu lebih 200,000 ejen calon atau parti politik yang bertindak sebagai pemerhati.

"Justeru, jika mana-mana pihak menuduh SPR melakukan penipuan semasa pilihan raya bermakna mereka sebenarnya menuduh rakyat Malaysia dan petugas parti politik itu sendiri kerana mereka itulah yang berada di barisan hadapan semasa pilihan raya diadakan khususnya dalam proses pengundian, pengiraan undi dan penjumlahan undi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, SPR hanya mempunyai kira-kira 750 kakitangan di seluruh negara yang kebanyakannya bertugas di ibu pejabatnya di Putrajaya  atau pejabat-pejabat pilihan raya negeri untuk menguruskan hal-hal berkaitan pentadbiran dan pengoperasian.

Di samping itu, Mohd Hashim berkata peranan kakitangan tetap SPR juga lebih menjurus dalam memberi latihan dan panduan kepada pegawai pengurus pilihan raya serta semua petugas lain supaya mereka menjalankan amanah yang diberikan dengan mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

Beliau berkata SPR telah melantik pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus bagi mengendalikan PRU14.

Katanya pegawai pengurus pula bertanggungjawab melantik petugas sokongan bagi mengisi jawatan tertentu untuk membantu mereka dalam mengendalikan pilihan raya itu seperti penyelia pusat mengundi, ketua tempat mengundi, kerani pengundian dan kerani mengira undi.

Beliau berkata kebanyakan orang awam yang dilantik sebagai petugas pilihan raya terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta, masyarakat setempat, orang perseorangan dan mahasiswa yang mempunyai pengalaman dan latar belakang politik yang pelbagai.

"Namun semasa menjalankan tanggungjawab sebagai petugas pilihan raya, mereka mesti bersikap bebas dan berkecuali walaupun mereka menyokong calon atau parti politik tertentu," katanya.

Mohd Hashim berkata petugas pilihan raya berkenaan berperanan sebagai pelaksana dalam semua urusan pilihan raya khususnya dalam urusan pengundian, pengiraan undi, pengeluaran, pembukaan sampul, pengiraan dan juga penyimpanan kertas undi pos.

Mengenai 200,000 ejen calon dan parti politik pula, Mohd Hashim berkata mereka berperanan sebagai pemerhati atau pemantau perjalanan urusan PRU14 seperti semakan daftar pemilih di barung-barung semakan, proses pengundian, pengiraan undi, pengeluaran kertas undi pos, pembukaan sampul undi pos, penyimpanan peti undi pos dan pengiraan undi pos.

"Semasa PRU14, setiap calon diberi keistimewaan untuk melantik ejen mereka," katanya.

Bagi memperlihatkan ketelusan proses pilihan raya yang dijalankan, katanya SPR turut menjemput pemerhati antarabangsa dari 13 negara serta Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC) yang merupakan sebuah pusat kajian dan sokongan kepada Badan Pengurusan Pilihan Raya yang berpangkalan di Cambridge, United Kingdom.

SPR turut melantik pemerhati tempatan yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil universiti bagi memerhati perjalanan proses PRU14, katanya.

"Sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali yang melaksanakan pilihan raya dengan telus dan adil, SPR amat berharap rakyat Malaysia memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya terhadap SPR dan semua petugas pilihan raya yang terdiri daripada orang awam serta pengundi itu sendiri dalam menjalankan tanggungjawab menegakkan amalan demokrasi di negara ini," kata Mohd Hashim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS