Jabatan Penjara memutuskan peguam Latheefa Koya tidak lagi dibenarkan berjumpa dengan anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan wujud ketidakpatuhan peraturan penjara yang telah ditetapkan.

“Seksyen 26, Akta Penjara 1995 menetapkan bahawa semasa menjalani hukuman seseorang banduan walaupun berada di luar penjara dan masih dalam tempoh hukuman masih tertakluk kepada peraturan-peraturan sepertimana berada di dalam penjara.

“Seterusnya Peraturan 101(2), Peraturan-Peraturan Penjara 2000 menetapkan perjumpaan di antara peguam dengan seseorang banduan adalah bagi urusan berkaitan kes perbicaraan yang melibatkan banduan berkenaan sahaja,” kata Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan, Darussalam Budin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada satu kenyataan yang kononnya daripada Anwar berhubung Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan Rang Udang-Undang Antiberita Tidak Benar yang diterbitkan oleh akhbar pada 31 Mac dan 1 April.

Darussalam berkata Anwar masih menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras dan keutamaan lawatan yang dibenarkan untuk beliau adalah bagi berjumpa keluarga.

“Di samping itu dari masa ke semasa peguam turut dipertimbangkan berjumpa beliau semata-mata atas urusan berkaitan kes yang akan dibicarakan di mahkamah. sepertimana yang dipohon oleh peguam.

“Jabatan ini mendapati bahawa wujud ketidakpatuhan kepada Peraturan 101 (2), Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan dengan yang demikian itu Puan Lateefa Koya telah diputuskan tidak lagi dibenarkan menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagaimanapun, keputusan ini tidak melibatkan peguam-peguam lain yang mengendalikan kes-kes Anwar dan mereka dibenarkan menemuinya untuk urusan-urusan kes seperti biasa.,” katanya.

Darussalam berkata Malaysia tidak menyekat perjumpaan di antara peguam dan banduan agar kes-kes yang melibatkan banduan berkenaan dapat dikendalikan dengan lancar.

Malahan, katanya, pihak penjara turut berusaha agar setiap banduan yang memerlukan khidmat peguam diberikan peluang untuk kemudahan itu.

“Jabatan Penjara Malaysia berharap kerjasama diberikan oleh semua pihak agar mematuhi Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 semasa perjumpaan atau berurusan dengan banduan yang masih menjalani hukuman supaya setiap urusan dapat dilaksanakan dengan lancar dan dalam keadaan terkawal,” katanya.

Darussalam kemudian mendesak semua orang untuk bekerjasama dan mematuhi Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000 semasa bertemu atau berurusan dengan tahanan yang masih menjalankan hukuman mereka.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 10 Feb 2015 atas kesalahan meliwat tetapi berterusan mendakwa ia adalah konspirasi politik.

Beliau dijadual dibebaskan pada 8 Jun tahun ini tertakluk kepada budi bicara Ketua Pengarah Jabatan Penjara.