Serang Samy Vellu, Dr M kata MIC harus dikalahkan
Tanpa menyebut nama, bekas perdana menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas bekas orang kuatnya Tun S Samy Vellu yang menjadi presiden MIC semasa pentadbirannya.
“Saya mungkin bersalah kerana tidak prihatin, tetapi saya fikir kamu (orang-orang India) ketika itu diwakili oleh seseorang.
“Tetapi dia besar sangat, saya tak boleh nampak ada apa di belakang dia.
“Sebagai wakil orang-orang India, saya ingat dia buatlah apa yang dia janji tetapi sekarang baru saya dapat tahu dia tidak buat kerja.
“Jadi mengalahkan partinya adalah tindakan yang betul,” katanya.
Mahathir berkata demikian ketika pelancaran manifesto Pakatan harapan untuk kaum India di Petaling Jaya hari ini.
Samy Vellu menjadi presiden MIC untuk 11 penggal berturut-turut sejak 1979 hingga 2010.
Selain berkhidmat dalam kabinet Mahathir, bekas menteri kerja raya itu juga pernah berada dalam kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi sehinggalah kalah mengejut dalam pilihan raya umum 2008.
Samy Vellu tidak pernah secara terbuka mengkritik Mahathir.
Ketika perayaan Thaipusam Januari lalu, Samy Vellu berkata beliau tidak akan kata apa-apa kepada Mahathir dan menggelarkannya “pemimpin dan individu yang baik”.

