Kos rawat panyakit akibat merokok bebankan bajet kesihatan
Malaysia kini menanggung beban kewangan yang besar bagi merawat pesakit yang menderita penyakit akibat daripada merokok, yang membabitkan hampir separuh daripada bajet Kementerian Kesihatan.
Malaysia kini menanggung beban kewangan yang besar bagi merawat pesakit yang menderita penyakit akibat daripada merokok, yang membabitkan hampir separuh daripada bajet Kementerian Kesihatan.
Satu kajian mengenai implikasi penjagaan kesihatan akibat tabiat merokok, mendapati ia membabitkan kos RM3.1 billion pada 2004 kira-kira 44.3 peratus daripada bajet Kementerian Kesihatan, demikian menurut akhbar kewangan, The Edge.
Kajian itu, yang dijalankan oleh tiga buah universiti di Malaysia dan dua badan pengawal tembakau, mendapati jumlah tersebut bersamaan dengan 17.2 peratus daripada jumlah perbelanjaan bagi penjagaan kesihatan negara, dan jumlahnya semakin meningkat.
Bagaimanapun, kajian tersebut hanya mengambil kira tiga penyakit utama hati dan jantung akibat merokok.
"Hasil kajian itu sebenarnya konservatif kerana ia mengambil kira tiga penyakit sahaja. Terdapat lebih 150 penyakit berkaitan merokok, akibat daripada 4,000 bahan kimia dalam tembakau," kata pakar ekonomi kesihatan, Syed Mohamed Al Junid.
Jumlah perokok meningkat
Kajian tersebut, yang akan diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun depan, turut mengkaji kos merawat 200 pesakit perokok di hospital kerajaan di antara bulan Disember 2003 hingga Mei tahun ini.
Para pakar berkata, kos merawat pesakit di hospital swasta dan faktor-faktor lain seperti kehilangan produktiviti kerana sakit dan kematian di peringkat umur muda, juga tidak dimasukkan dalam kajian tersebut.
Jumlah rakyat Malaysia yang merokok semakin meningkatkan walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat berkenaan.
Satu kajian kesihatan negara yang diadakan tahun lalu, menunjukkan 23.2 peratus rakyat dewasa Malaysia merokok, manakala satu lagi kajian berasingan, mendapati hampir 25 peratus remaja merokok.

