BERSATU mohon semakan kehakiman
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semalam memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara parti itu.
Permohonan itu, antara lain, memohon pengisytiharan dari mahkamah bahawa ia telah mematuhi Seksyen 14(2) notis Akta Pertubuhan dan ia boleh bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 sebagai sebuah parti politik yang sah.
Permohonan itu difailkan oleh setiausaha agung BERSATU, Datuk Sharuddin Md Salleh, dan menamakan Suriyati sebagai responden tunggal.
Malaysiakini melihat permohonan yang difailkan oleh firma guaman Chethan Jethwani di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Permohonan BERSATU itu telah ditetapkan pada 16 April di hadapan Hakim Datuk Kamaludin Md Said.
Dalam permohonan semakan kehakiman, kebenaran perlu diperoleh untuk memulakan semakan mengenai sesuatu keputusan yang dibuat oleh jabatan atau agensi kerajaan.
Difahamkan permohonan itu difailkan semalam sebelum sidang akhbar ROS mengumumkan perintah pembubaran sementara BERSATU.

