Penyenaraian Tabung Haji Plantation ditangguhkan
Penyenaraian Tabung Haji Plantation (THP), salah sebuah anak syarikat Tabung Haji ke Bursa Malaysia ditangguhkan bagi membolehkan kajian lebih terperinci dibuat mengenai perkara itu.
Penyenaraian Tabung Haji Plantation (THP), salah sebuah anak syarikat Tabung Haji ke Bursa Malaysia ditangguhkan bagi membolehkan kajian lebih terperinci dibuat mengenai perkara itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perjumpaannya dengan beliau baru-baru ini.
Dalam perjumpaan itu, beliau telah menyampaikan semua pandangan ahli Parlimen yang membantah tindakan untuk menyenaraikan anak syarikat Tabung Haji itu di Bursa Malaysia pada akhir tahun ini.
"Perdana Menteri arahkan supaya kita tangguhkan dan minta saya memberitahu Tabung Haji supaya menangguhkan dahulu penyenaraian syarikat THP ke Bursa Malaysia," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.
Tindakan untuk menyenaraikan THP ke Bursa Malaysia mendapat perhatian serius pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2006 dengan rata-rata ahli Parlimen membantah tindakan itu dan meminta Perdana Menteri campurtangan.
Ekoran itu, Abdullah mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen minggu lalu bagi membincangkan mengenai perkara itu dan berjanji untuk membawa pandangan mereka kepada Perdana Menteri.
Pendeposit Tabung Haji
Beliau berkata, keputusan untuk menangguhkan penyenaraian itu dibuat bagi membolehkan kajian lebih mendalam mengenainya dengan mendengar pandangan daripada pelbagai pihak terbabit termasuk pendeposit Tabung Haji.
"Selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, kita rasakan itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya...Pandangan daripada mereka kita ambil kira, hujah mereka kita ambil perhatian, kita rasa lebih baiklah sebab akan lebih menjamin keputusan kita nanti," katanya.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kerajaan juga tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk membuat keputusan bagi penangguhan itu memandangkan ia akan melibatkan banyak pihak dan semua pandangan yang diterima akan diperhalusi.
"Kita akan buat kajian mendengar pandangan mereka dan mungkin juga pihak-pihak yang lain, selepas itu baru kita akan membuat keputusan terhadap penyenaraian ini," katanya.
Abdullah berkata ahli Parlimen telah menyuarakan pandangan meminta kerajaan mengkaji semula keputusan menyenaraikan THP ke Bursa Malaysia bagi memastikan tindakan yang dibuat tidak akan merugikan Tabung Haji.
'Sayang Tabung Haji'
"Ahli-ahli Yang Berhormat ni sangat sayang kepada Tabung Haji, (mereka) takut nanti terjebak kepada pelaburan yang tidak menguntungkan," katanya.
Ketika ditanya mekanisme yang akan digunakan bagi mendapatkan pandangan daripada pendeposit, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Tabung Haji.
Ditanya kajian tidak dibuat sebelum memutuskan untuk menyenaraikan anak syarikat Tabung Haji itu, Abdullah berkata: "Kajian memang kajian tapi lebih perluaskan lagi kajian dengan banyak pihak dan sebagainya".
Terdahulu, Abdullah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan di Dewan Rakyat telah mengumumkan keputusan kerajaan itu dan disambut dengan tepukan ahli Parlimen.
Idris Haron (BN-Tangga Batu), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) dan Dr Junaidy Abdul Wahab (BN-Batu Pahat) ketika bangun mencelah pada penggulungan itu mengucapkan terima kasih kepada menteri berikutan keputusan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.