Umat Islam di negara ini digesa mengundi PAS pada pilihan raya umum akan datang untuk memastikan usul presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat dibahaskan dalam sesi parlimen akan datang.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata usul itu akan dibahaskan sehingga berjaya menjadi undang-undang yang sah jika PAS diberi mandat untuk mentadbir negara ini.

Usul Hadi antara lain bertujuan membentangkan Rang Undang-undang Ahli Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355.

"Kami (PAS) telah melakukan yang terbaik di mana Abdul Hadi sebagai pembawa usul ini telah membacakannya pada 6 April tahun lalu.

"Usul ini diteruskan sehingga semalam dengan persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang meminta penjelasan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa mungkinkah usul ini akan dibawa pada penggal sidang parlimen selepas PRU ke-14.

"Ujar Speaker Dewan ia terserah kepada kerajaan baru yang akan memerintah kerajaan selepas daripada PRU ke 14 ini," kata Siti Zailah yang dipetik oleh Harakahdaily.

Usul itu, katanya, tidak lagi di bawah bidang kuasa Abdul Hadi dan dan sewajarnya diberi peluang kepada mana-mana ahli parlimen untuk membahaskannya.

Pandikar semalam menolak utuk mengesahkan apa yang akan terjadi kepada usul itu.

Katanya, meskipun jika beliau membuat keputusan sekarang, ia mungkin tidak relevan kerana beliau tidak tahu siapa yang akan duduk di sebelah kanan (pihak kerajaan) atau yang akan duduk di sebelah kiri (pembangkang).

Sama ada usul itu dibawa pada sidang parlimen akan datang atau tidak adalah penting bagi PAS kerana usul itu telah dibentangkan tahun lalu dan hanya perlu dibahaskan.

Rang undang-undang persendirian Hadi antara lain mencadangkan untuk meningkatkan hukuman syariah di bawah Akta 355 iaitu penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara 10 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.