Semalam ialah hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi penggal ke-13. Serentak dengan itu juga maka berakhirlah tempoh Rafizi Ramli di tempatnya di dalam ruang yang sering dirujuk anggotanya sebagai "mulia" itu.
Untuk penggal depan tiada lagi kelibat Rafizi di Dewan Rakyat ketika kerusinya - Pandan - menjadi satu daripada kawasan terbaik dan paling selamat buat PKR.
Naib presiden PKR itu mengesahkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini selepas hilang kelayakan akibat sabitan mahkamah dalam kes National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFC).
Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, Rafizi sempat memuat naik gambar tanda namanya di Instagram. Ia adalah tanda nama yang selama ini diletakkan pada meja Rafizi sepanjang tempoh dia menjadi anggota parlimen.
Ada sedikit rasa sayu pada catatan itu. Katanya tanda nama itu diberikan kepadanya sebagai cenderahati memandangkan dia tidak lagi akan berada di parlimen pada penggal akan datang.
“Saya tidaklah rasa nostalgik atau sedih, saya telah cuba pikul amanah itu sebaiknya.
"Saya lebih bimbang dengan amanah yang sedang menanti, iaitu membantu Pakatan Harapan menewaskan @najib_razak.
“Sama ada suatu hari nanti saya kembali ke Parlimen atau tidak - itu telah ditetapkan Allah,” tulis Rafizi.
Watak yang giat membuat banyak pendedahan berkaitan skandal kerajaan itu turut berkata jawatan sebagai anggota parlimen hanyalah satu pangkat yang diberikan di dunia dan ia perlu digunakan dengan sebaik mungkin untuk membantu masyarakat.
“Saya percaya ada banyak cara kita boleh membantu masyarakat untuk mencari keredaan Allah. Menjadi anggota parlimen adalah salah satu caranya,” katanya.
Rafizi juga berkata tanpa jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat beliau akan tetap membantu masyarakat.
“Insya Allah, saya cuba membantu orang ramai pada kala saya kembali menjadi rakyat biasa seperti mana niat saya cuba membantu orang ramai semasa saya diberi amanah menjadi anggota parlimen,” katanya.
Rafizi berdepan hukuman penjara selama 30 bulan selepas didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi.
Walaupun kesnya sedang dalam rayuan, hukuman penjara akan membatalkan kelayakannya sebagai ahli parlimen sekiranya keputusan bersalah itu dikekalkan.
Pada PRU ke-13, Rafizi bertanding di kawasan parlimen Pandan dan menang selesa dengan majoriti 26,729 undi. Rafizi memperoleh 48,183 undi berbanding calon BN, Gary Lim Chin Yee (21,454 undi).
Seorang calon bebas, Allan Tan pula mengumpul hanya 2,415 undi.
