Walaupun dinamakan sebagai calon menteri besar oleh Pakatan Rakyat jika gabungan pembangkang menang di Johor pada pilihan raya umum ke-13, namun Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk memegang jawatan itu jika Pakatan Harapan menawan negeri itu pada pilihan raya kali ini.

Ini kerana, katanya, beliau lebih suka berkhidmat di peringkat kerajaan persekutuan sekiranya gabungan pembangkang menawan Putrajaya.

"Jika saya ada pilihan, saya mahu bersama kerajaan persekutuan. Bukan hasrat saya. Terpulang rakyat yang menentukannya,” kata Salahuddin kepada wartawan petang ini ketika ditanya sama ada beliau mahu sanggup menjadi menteri besar, jika HARAPAN memenangi negeri itu.

Salahuddin juga mengesahkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai sekali lagi dan dijangkakan akan berdepan lagi dengan Datuk Nur Jazlan Mohammad.

"Saya tinggal di Pulai. Saya bertanding di sana pada pilihan raya umum lalu. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berlawan dengan Nur Jazlan lagi," katanya, sambil menambah bahawa beliau percaya bahawa tsunami Melayu akan melenyapkan Umno.

Sebelum ini, Salahuddin dilaporkan berkata beliau sanggup melepaskan Pulai sebagai pertukaran untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai, yang telah diperuntukkan kepada BERSATU.

Terletak 50km dari bandar Pulai, Tanjung Piai adalah bandar tempat kelahiran Salahuddin.

Pada pilihan raya umum ke-13, Salahuddin yang juga bekas naib presiden PAS tewas kerusi Parlimen Pulai kepada Nur Jazlan, yang adalah timbalan menteri dalam negeri, dengan 3,226 undi.

Salahuddin juga kalah di kerusi DUN Nusajaya, dengan 2,201 undi.

[Baca berita penuh]