Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
16 pelancong China antara yang cedera bas langgar kereta

Dua puluh tiga penumpang termasuk 16 pelancong warga China cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 17.1 Jalan Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur, malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani berkata kemalangan berlaku pada jam 7.24 malam ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan turun dari pusat peranginan tersebut.

"Sebaik tiba di tempat kejadian brek bas berkenaan dipercayai bermasalah dan melanggar kereta Honda yang berada di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.

"Bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di Bentong.

Yusri berkata 14 daripada pelancong asing berkenaan ialah wanita manakala dua lagi lelaki.

Turut cedera ialah pemandu pelancong serta pemandu bas warga tempatan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu lima orang yang berada dalam Honda itu dihantar ke hospital sama.

Menurut Yusri ada lima orang di dalam kerena berkenaan termasuk seorang lelaki.

Kesemua mangsa berusia 30 hingga 50-an itu dihantar ke hospital berkenaan dengan lapan ambulans milik bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan.

Operasi menyelamat dilakukan 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dan APM Bentong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS