Wan Azizah gembira lihat di dada Mahathir tersemat logo PKR
PRU14 | Apabila Tun Dr Mahathir menyematkan lencana dengan lambang PKR ke bajunya malam ini, ia adalah detik yang bersejarah buat bekas perdana menteri itu serta parti berkenaan.
Dengan mengenakan baju merah bersama lambang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr Mahathir duduk bersebelahan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Melalui satu klip video yang diciap di Twitter, Dr Wan Azizah kelihatan bertepuk tangan melihat lambang PKR akhirnya terpampang di dada pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkenaan
Doktor mata yang kemudian menjadi ahli politik ekoran tindakan Dr Mahathir kira-kira 20 tahun itu kemudian tersenyum dan gembira dengan apa yang dilihatnya.
Ia dipercayai berlaku sebelum Dr Mahathir menaiki pentas untuk membuat pengumuman rasmi bahawa semua parti dalam HARAPAN - PKR, BERSATU, AMANAH dan DAP - akan mencabar BN menggunakan lambang berkenaan.
Langkah itu diambil selepas usaha keempat-empat parti gagal mendaftarkan HARAPAN secara sah.
Ia kemudian didorong pula oleh langkah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan penggantungan sementara BERSATU semalam.
Sesuatu yang tak disangka seringkali mendatangi kita... ? pic.twitter.com/WtkGLfLSc1
— Najwan Halimi (@NajwanHalimi) April 6, 2018
Untuk rekod pengumuman dibuat ROS itu secara kebetulan berlaku sehari sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen Malaysia akan dibubarkan pada 7 April.
Sementara itu Dr Wan Azizah berkata suatu kegembiraan melihat Dr Mahathir mengenakan logo PKR. Namun katanya ada perkara yang lebih penting daripada perasaan itu.
"Apa yang lebih utama ialah langkah ini menunjukkan bahawa semua parti dalam HARAPAN bersatu," katanya kepada media selepas berakhir ceramah di Pasir Gudang berkenaan.
Menurut Dr Wan Azizah keputusan diambil ROS ke atas BERSATU semalam boleh dianggap sebagai rahmat yang tersembunyi buat HARAPAN.
"Ia sekarang menunjukkan kami semua bersatu," katanya.
Untuk rekod Anwar sedang dipenjara selepas disabitkan kesalahan atas tuduhan meliwat - sesuatu yang dinafikan oleh beliau serta penyokong PKR selama ini.
Mereka menganggap sabitan berkenaan bersifat politik.
Tokoh berpengaruh itu dijangka akan dibebaskan pada 8 Jun ini, namun pilihan raya umum ke-14 dijangka akan diadakan sebelum tarikh berkenaan.

