Paling Popular
Terkini

PRU14 | Biarlah apa pun yang dikatakan, Datuk Seri Shahidan Kassim tetap tidak berganjak daripada keyakinannya.

Di sebalik apa yang diuar-uarkan Pakatan Harapan (HARAPAN) Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu percaya tiada tsunami Melayu yang akan berlaku pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Malah kata Shahidan, tidak ada sesiapa yang wajar meraikan tsunami kerana sifat fenomena itu merujuk kepada sesuatu yang menghancurkan.

Sebaliknya kata Shahidan, Melayu sepatutnya disatukan dengan mengundi BN apabila tiba hari mengundi nanti.

“Tsunami Melayu mesti ke arah kebaikan. Yang kita sebut tsunami adalah kehancuran, tak ada tsunami yang menolong kita tapi menghancurkan kita.

“Kita sebut tsunami sendiri menghancurkan Melayu. Jadi perkataan itu sendiri saya tak setuju kerana orang Melayu tak perlu menghancurkan diri mereka sebaliknya perlu membina diri mereka dengan menyokong BN,” katanya kepada Malaysiakini.

Shahidan berkata demikian mengulas akan wujud tsunami Melayu pada PRU ke-14 yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi.

Untuk rekod, Parlimen terbubar secara rasmi hari ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semalam.

Tahu sebab kalah

Ungkapan tsunami Melayu disebut-sebut HARAPAN apabila mereka melihat berlaku perubahan ketara pada sokongan pengundi di kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat Umno.

Semuannya dipengaruhi oleh pembabitan aktif Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ribuan penduduk hadir menyaksikan ceramah HARAPAN di Guar Chempedak di Kedah pada 29 Mac lalu misalnya dijadikan ukuran tahap sokongan Melayu kepada gabungan berkenaan.

Selain itu, kehadiran seramai 4,000 dalam ceramah di Gunung Medan di Utan Aji, Kangar sehari selepas itu juga dilihat sangat positif berbanding hadirin pada 2013.

Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia dengan penduduknya sekitar 248,500 orang. Negeri itu hanya mempunyai tiga kerusi parlimen iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar, selain 15 kerusi negeri.

Daripada semua kerusi itu, hanya dua kerusi negeri dimenangi parti pembangkang pada PRU ke-13. Calon PKR memenangi kerusi DUN Indera Kayangan dengan majoriti 1,092 undi, sementara PAS menguasai DUN Sanglang dengan majoriti tipis 121 undi.

Shahidan yang juga pengerusi BN Perlis dan juga anggota Parlimen Arau berkata mereka kini sudah 97 peratus sedia menghadapi PRU ke-14.

Baki tiga peratus lagi katanya terletak pada pengundi di luar negeri itu.

Selain itu Shahidan juga yakin dua kerusi DUN yang jatuh ke tangan pembangkang dapat dirampas semula pada apabila PRU ke-14 dijalankan.

Keyakinan itu dibuat beliau selepas masalah dalaman yang berlaku sebelum ini dapat diatasi.

“Dua kawasan kita kalah, kita akan ambil balik. Indera Kayangan ini kita tak pernah kalah. BN tahu faktor mengapa kami kalah, dan kami sedang serta sudah memperbetulkan apa yang perlu.

“Di Sanglang kita kalah atas sebab masalah dalaman, malahan yang lawan kita pada PRU lepas cuma seorang ketua cawangan saja. BN cuma kalah 121 undi.

Sekarang BN hanya menunggu tarikh penamaan calon dan PRU,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, sidang media HARAPAN Perlis menyatakan gabungan itu merangka pelan bagi menguasai tiga kerusi parlimen dan sembilan DUN.


Baca Kalau kami menang lagi...


Percaturan itu dibuat ketika PAS bersedia meletakkan calon di semua kerusi di Perlis. Untuk rekod pemimpin tertinggi parti, Hashim Jasin, ialah orang Perlis.

Beliau dilantik sebagai mursyidul am bagi mengisi kekosongan apabila penyandang Datuk Dr Haron Din meninggal dunia.

Shahidan ketika ditanya perkara itu berkata pihaknya menggagap semua pencalonan dari parti lawan perlu diberi perhatian serius.

Katanya BN akan menganggap semua kerusi di Perlis "panas".

"Saya jangka BN akan menang 100 peratus di Perlis," katanya.

Lihat Komen
ADS