Amerika Syarikat mengenakan sekatan pada hari Jumaat terhadap ahli perniagaan, syarikat serta pegawai kanan Rusia, dengan menyasarkan rakan sekutu Presiden Vladimir Putin.

Ia adalah salah satu langkah paling agresif Washington untuk menghukum Moscow atas apa yang didakwanya sebagai "kegiatan berniat jahat," termasuk dakwaan campurtangan dalam pilihanraya AS pada 2016, ekoran tekanan dari Kongres AS.

Ia termasuk langkah membekukan aset ahli perniagaan seperti hartawan aluminium Oleg Deripaska dan ahli Parlimen Suleiman Kerimov, yang keluarganya menguasai Polyus, iaitu pengeluar emas terbesar Rusia.

Sekatan Jabatan Perbendaharaan terhadap tujuh ahli perniagaan Rusia dan 12 syarikat yang mereka miliki atau kuasai, serta 17 pegawai kanan kerajaan senior Rusia, berkemungkinan akan merumitkan harapan Presiden AS, Donald Trump untuk menjalin hubungan baik dengan Putin.

Setiausaha Perbendaharaan Steve Mnuchin dalam satu kenyataan mendakwa bahawa Moscow terlibat dalam pelbagai aktiviti berniat jahat di seluruh dunia.

Ia termasuk Rusia terus menduduki Crimea dan menghasut keganasan di timur Ukraine, membekalkan rejim Assad dengan bahan dan persenjataan ketika mereka mengebom orang awam mereka sendiri, cuba menumbangkan demokrasi Barat, dan aktiviti siber yang berniat jahat.

Ahli Parlimen Rusia, Konstantin Kosachev, pengerusi jawatankuasa hal ehwal antarabangsa Parlimen Rusia berkata, sekatan itu tidak berasas dan tidak menyenangkan, lapor agensi berita Interfax.

Sekatan ini berpotensi memudaratkan ekonomi Rusia, terutama sektor kewangan dan tenaga, dan merupakan sebahagian daripada usaha Washington untuk mempertanggungjawabkan Rusia kerana didakwa campur tangan dalam pilihan raya AS, yang telah dinafikan oleh Moscow.

Saham pengeluar aluminium Rusal merosot 2.2 peratus di bursa Moscow selepas syarikat itu dinamakan dalam senarai sekatan.

Syarikat-syarikat kerajaan Rusia di bawah sekatan AS akan menerima sokongan tambahan kerajaan, lapor Interfax yang memetik Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Denis Manturov.

Agensi risikan AS berkata Rusia menggunakan penggodaman dan propaganda dalam usaha yang akhirnya menguntungkan Trump yang bersaing dengan calon Demokrat, Hillary Clinton.

Peguam Khas Robert Mueller sedang menyiasat sama ada kempen Trump bersekongkol dengan Rusia dalam pilihan raya 2016, sesuatu yang dinafikan oleh Trump. Mueller telah menuduh 13 rakyat Rusia dan tiga organisasi dalam siasatannya. [Baca berita penuh]

Reuters