BN NS akan cuba menangi semua kerusi yang ditandingi
Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan cuba memenangi semua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad yang juga menteri besar berkata walaupun ada kerusi yang sukar untuk menang, BN Negeri Sembilan akan mengambil pendekatan konsep mengekalkan kerusi sedia ada dan mendapatkan semula kerusi yang kalah dalam pilihan raya umum sebelum ini.
“Kita nak kekalkan apa yang kita ada iaitu 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen serta ingin mendapatkan semula sekurang-kurangnya lima ke tujuh kerusi (DUN dan Parlimen) lagi yang dulunya kita kalah dengan majoriti sedikit dan ada juga yang kalah bukan disebabkan pembangkang di kawasan itu kuat tetapi kerana masalah dalaman.
“Jadi, kalau boleh pada PRU14 ini, kita pastikan dapat hindarkan masalah dalaman dan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat. Saya yakin kita boleh menambah kerusi yang kita kalah dulu serta mempertahankan kerusi sedia ada, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Waghih Kito di Seremban hari ini.
Mengenai senarai calon BN negeri, Mohamad berkata calon yang bakal diumumkan nanti sudah diselidiki dan melalui tapisan rapi untuk memastikan calon itu tidak membawa masalah kepada parti.
“Dalam pilihan raya memang kita nak menang, oleh itu, calon mesti boleh diterima orang ramai yang boleh memenangkan parti... jadi pemilihan calon dibuat begitu rapi dan teliti sekali,” katanya.
- Bernama

