Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas manifesto Pakatan Harapan untuk rakyat negeri itu dan menyifatkan sebahagian daripada manifesto itu diciplak selain dihasilkan oleh orang yang tidak faham kedudukan serta perkembangan semasa Johor.

Mohamed Khaled berkata sekiranya Pakatan Harapan melakukan kajian, maka, mereka tidak akan mengemukakan tawaran yang sememangnya sedang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk rakyat ketika ini seperti pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan pembangunan koridor utara merangkumi hab pendidikan, hub perabot serta Segamat yang dimasukkan dalam koridor pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

"Manifesto pembangkang ini dibuat oleh orang yang tidak faham Johor dan tidak melihat perubahan-perubahan yang berlaku di Johor. Mereka tidak ambil tahu mengenai perkembangan dan juga kedudukan semasa di Johor.

"Jadi, inilah kesannya bila pemimpin-pemimpin yang hendak datang ke Johor ini ialah pemimpin nomad, dasar dia tidak menepati kedudukan johor sekarang ini, yang memerlukan lebih daripada itu kerana sebahagian yang mereka kemukakan dalam manifesto adalah ciplak.

“Saya ingat dalam Pakatan Harapan, pemimpinnya kitar semula, rupanya manifesto mereka pun kitar semula, cedok dari orang lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah RMMJ Plentong di Kampung Sri Makmur, diJohor Bahru hari ini.

Pakatan Harapan pada Jelajah Harapan di Pasir Gudang, malam tadi, mengumumkan 20 tawaran baharu buat rakyat Johor untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) antaranya membina 100,000 unit RMMJ, mewujudkan Wilayah Pembangunan Koridor Johor Utara serta pemberian 10 meter padu air percuma (kediaman) kepada golongan B40. -

Mohamed Khaled menegaskan, manifesto Pakatan Harapan tidak mengandungi komitmen dan perhatian pembangkang terhadap golongan wanita, Orang Asli, masyarakat Felda serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

Menurutnya, dalam soal pemberian air percuma pula, kerajaan negeri sudah memberikan kepada golongan memerlukan khususnya B40 yang bukan sahaja sekadar 10 meter padu tetapi sebanyak 25 meter padu.

"Kemudian, saya hendak nyatakan bahawa mengapa tarif air di Johor mahal, kerana pada mulanya bila dilakukan pengkorporatan terhadap air yang dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas Menteri Besar Johor), dialah yang meluluskan projek infrastruktur air sehingga hutang sampai RM4.5 bilion dan kerajaan pusat terpaksa ambil alih, kerana itulah tarif tinggi," katanya.

Mengenai manifesto BN Johor yang akan ditawarkan kepada rakyat, Mohamaed Khaled berkata ia dijangka diumum pada 14 atau 15 April ini.

Sementara itu, mengenai RMMJ, beliau berkata kerajaan Johor menyasarkan sebanyak 100,000 unit perumahan berkenaan disiapkan menjelang 2023 selain merancang melakukan pengambil alihan 300 ekar tanah dengan kos RM108 juta untuk pembinaan lebih banyak RMMJ di daerah-daerah negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneliti keperluan pembinaan rumah bernilai RM250,000 ke bawah dan akan mengadakan perbincangan dengan pemaju perumahan bagi memenuhi keperluan rakyat.

RMMJ Plentong yang dibangunkan Tanjung Bintang Sdn Bhd itu akan melibatkan pembinaan 620 unit RMMJ iaitu 434 unit berharga RM150,000, 186 unit Pakej B berharga RM80,000 serta 68 Kedai Kos Sederhana Rendah (KKSR) berharga RM212,000.

- Bernama