PRU14 | Menjelang pilihan raya umum Ke-14 (PRU14), pelbagai kejutan dan debaran bakal dihadapi parti-parti yang mengambil bahagian serta penyokongnya.

Di Kelantan misalnya, pasca-pemerintahan 28 tahun parti PAS pastinya diberi tumpuan besar dalam usaha mempertahankan kerajaan "Membangun Bersama Islam".

Hari ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi gambaran wujudnya kemungkinan tokoh lama dalam parti itu digugurkan sebagai calon pada PRU14 nanti.

Menurut penyandang menteri besar Kelantan itu, kemungkinan itu tidak mustahil akan berlaku.

"Nak kata (tokoh) besar tak besar, nak kata kecil pun besar juga.

"Ada, kemungkinan ini berlaku... benda tidak mustahil," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Ahmad mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 Kelantan selepas diperkenankan pemangku Sultan Kelantan, malam tadi.

Perkara itu dibuat susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan pilihan raya serentak diadakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Sementara itu ditanya mengenai senarai calon PAS Kelantan Ahmad berkata, pihaknya masih menunggu keputusan akhir sebelum diumumkan pada waktu bersesuaian.

Malah timbalan mursyidur am PAS itu turut mendedahkan sekitar 30 peratus calon muka baru akan ditampilkan parti itu di negeri Kelantan.

"Lebih kurang 30 peratus calon muka baru dan calon muslimat masih ada.

"Senarai calon lama dah kita hantar pada PAS pusat, cuma kita tunggu keputusan terakhir, Alhamdulillah sudah ada," jelasnya.

Tegas Ahmad, beliau yakin PAS mampu bertahan untuk terus membentuk kerajaan negeri Kelantan dan mendapat mandat rakyat sekali lagi walaupun berdepan pertandingan tiga penjuru.

"Berdasarkan usaha dan kerja-kerja yang kita buat sebelum ini, dan kita sudah faham kita berdepan tiga penjuru. Maka kita buat persiapan dan kita yakin dengan persiapan kita, prestasi serta rekod kerajaan negeri.

"Dan kita juga meneruskan apa yang dibuat oleh Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat). Saya berpendapat, Insya-Allah kita akan mendapat semula 31 kerusi DUN yang kita menang," katanya.