BN tak 'gentleman' berdepan BERSATU, kata PAS
PRU14 | PAS mengaitkan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai sikap tidak gentleman kerajaan BN.
Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya turut berasa terkilan dengan perkara yang berlaku terhadap BERSATU.
"Sejujurnya, memang kita rasa terkilan dengan apa yang berlaku. Sebab dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia sepatutnya semua parti diberi peluang.
"Kerajaan tidak sepatutnya memberikan alasan-alasan teknikal untuk berhadapan dengan pembangkang," katanya ketika ditemui media selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, ROS mengarahkan BERSATU yang diasaskan bersama oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dibubarkan sementara.
Arahan yang dibuat di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan itu berkuat kuasa pada 5 April lalu.
Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim menegaskan pihaknya tidak membuat keputusan tersebut berdasarkan "tafsiran peribadi".
"Tafsiran ROS perlu digunapakai bukan tafsiran sendiri. ROS bertindak tanpa (dipengaruhi) mana-mana pihak," katanya.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, BN sepatutnya memberi ruang kepada semua parti pembangkang untuk bertanding dengan mengemukakan pandangan masing-masing.
"Biar rakyat yang menilai. Jadi pada pandangan kita, sikap yang tidak gentleman daripada BN dalam berhadapan dengan BERSATU," katanya.
Dalam perkembangan lain, penyandang timbalan menteri besar Kelantan itu turut memberi pandangan betapa banyak masalah dalaman akan wujud dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berhasrat menggunakan satu logo iaitu logo PKR pada PRU14 nanti.
Katanya, ia susulan perbezaan ideologi dan sikap-sikap parti yang memang sukar untuk menerima satu logo.
"Misalnya macam DAP, takkan mereka nak guna logo PKR dan orang-orang dalam parti BERSATU saya rasa sukar untuk guna logo PKR dalam pilihan raya.
"Mungkin mengelirukan ahli dan mencetuskan perbalahan sesama mereka, kita jangka macam itu. Tapi saya tak nak komen banyak sebab itu masalah dalaman mereka, biar mereka hadapi," jelasnya.

