Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | BN Terengganu perlu akur dengan calon menteri besar pilihan Datuk Seri Najib Razak jika berjaya mengekalkan kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, Najib selaku pengerusi BN pastinya mempunyai pertimbangan sendiri dalam memilih orang yang sesuai mentadbir negeri itu.

"Saya percaya pucuk pimpinan ada pertimbangannya dan pertimbangan itu yang harus kita patuhi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengatakan setiausaha politik Najib, Datuk Jailani Ngah bakal dipilih menjadi menteri besar Terengganu.

Menurut laporan Malaysiakini 27 Mac lalu, Jailani dikatakan tersenarai sebagai calon bagi menstabilkan keadaan politik di negeri itu yang sering bergolak ekoran pertembungan menteri besar sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dengan pendahulunya, Datuk Seri Ahmad Said.

Jailani dikatakan akan bertanding di DUN Batu Rakit, manakala Ahmad Razif berpindah ke kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dipegang PAS.

Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman bagaimanapun berkata pentadbiran negeri tidak berdepan banyak masalah bawah pimpinan Ahmad Razif.

"Saya lihat tiada banyak masalah sekarang. Sudah tentu setiap orang yang diberi tanggungjawab memerlukan masa untuk membuktikan kemampuannya," katanya lagi.

Malah beliau mengatakan kedudukan Umno dan BN di sana kini lebih kukuh dan yakin mampu menambah beberapa kerusi DUN dan Parlimen pada PRU ke-14.

"Saya percaya beberapa kerusi akan dapat diambil balik...(Namun) ia memerlukan kerja kuat dan (pasukan yang) bersatu," katanya lagi.

Pelantikan Razif untuk menggantikan Ahmad Said pada Mei 2104 mencetuskan krisis kepimpinan dan hampir-hampir menjatuhkan kerajaan negeri.

Ahmad Said dikatakan kecewa dengan perkara itu dan mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas, disusuli Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukti Besi, Roslee Daud.

Susulan itu, BN hanya memiliki 14 kerusi DUN manakala PAS dan PKR 15 kerusi.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan untuk keluar Umno selepas campur tangan Najib.

Terengganu molek doh

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata beliau tiada masalah dengan kepimpinan Ahmad Razif.

"Menteri besar turun padang seperti biasa dan tiada masalah dalam melaksanakan tugasnya. Kami di Besut menyokong kepimpinannya," katanya ketika dihubungi.

Malah Roslee (gambar) sendiri kini nampaknya sudah tiada masalah dengan Ahmad Razif.

"Terengganu hari ini molek doh (sudah baik), kita buat kerja tak bermusim dari awal sehingga pilihan raya.

"Wakil rakyat bersama-sama menteri besar mentadbir negeri...Tetapi (soal penggantian menteri besar) kita serah kepada pucuk pimpinan," katanya.

Ahmad Said pula ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

"Tak ada komen," katanya ringkas.

Jailani sudah dua penggal berkhidmat dengan Najib. Selain itu beliau juga menjadi pengerusi program khas Haji 1MDB.

Sumber Malaysiakini mendakwa Jailani dipilih berdasarkan latar belakang akademik dan agama yang kuat, iaitu lepasan jurusan undang-undang syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pihak istana Terengganu juga dikatakan senang dengannya berbanding Ahmad Razif, yang darjah kebesarannya pernah ditarik balik pada Mei 2016 walaupun dikembalikan beberapa bulan kemudian.

Lihat Komen
ADS