Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | PAS tidak berasa mereka ditipu oleh BN susulan usul persendirian yang dibawa presiden parti itu untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 gagal dibahaskan pada sesi parlimen lalu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata isu itu tidak timbul memandangkan rang undang-undang (RUU) berkenaan sudah pun ada disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Tidak tertipu (dengan BN), tak timbul isu itu kerana sudah tertulis dalam agenda dewan rakyat, cuma tunggu masa sahaja (untuk dibahas),” katanya dalam sidang media selepas majlis Town Hall Mega di Hotel De Palma, Shah Alam, malam tadi.

Anggota Parlimen Marang itu turut berkata, PAS sudah berjaya di peringkat awal untuk membawa usul RUU355 itu.

Bagaimanapun katanya usul daripada pihak kerajaan harus diberi keutamaan terlebih dahulu.

“Itu bukan kerja kita (untuk menentukan perbahasan), jadi kita dah berjaya di peringkat pertama,” katanya.

Khamis lalu, RUU355 kekal tidak dibahaskan di Dewan Rakyat walaupun usul itu berada di tempat kedua dalam aturan urusan mesyuarat.

Bukan pilih diri sendiri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said sebaliknya hanya mencadangkan untuk membahaskan usul dibawa menteri kewangan.

Berikutan itu PAS memutuskan untuk menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya memasukkan RUU355 itu ke dalam penggal ke-14.

Sementara itu PAS melalui gabungan Gagasan Sejahtera akan bertanding tidak kurang daripada 130 buah kerusi parlimen di seluruh negara pada PRU ke-14 ini.

Mengenai kemungkinan dilantik menjadi perdana menteri jika gabungan berkenaan berjaya membentuk kerajaan Abdul Hadi berkata segala keputusan itu terletak ditangan rakyat.

“Saya serah perkara ini kepada rakyat untuk tentukan siapa menang PRU, terserah pada pimpinan (yang menang untuk membuat pelantikan) kerana adab orang Islam bukan mengejar jawatan.

“Sebaliknya tanggungjawab kita memilih siapa pemimpin yang kita mahu, bukan kita pilih diri kita sendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS