Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 |  PAS dilihat semakin gagah melangkah bagi menghadapi PRU ke-14 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Yakin dengan Gagasan Sejahtera yang diterajuinya parti itu menyatakan mereka tidak akan goyah walaupun dilanda pelbagai kemungkinan.

Malah ditanya mengenai masa depan salah seorang wakil rakyatnya di Selangor PAS menegaskan jika berlaku perpindahan wadah ia bukan masalah besar buat parti berkenaan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ada perkara lebih besar untuk difikirkan oleh mereka berbanding percaturan langkah bekas setiausaha perhubungan PAS Selangor, Khairuddin Othman.

Khairuddin yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) bagi Paya Jaras menimbulkan spekulasi apabila menguar-uarkan ceramahnya bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pada malam ini.

Khairuddin yang sebelum ini diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai setiausaha perhubungan PAS di bawah dua pesuruhjaya bukanlah pemimpin yang selalu muncul membuat kenyataan.

Mempunyai latar belakang sebagai peguam, beliau pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa PAS Selangor baru-baru ini namun digugurkan hanya beberapa bulan kemudian.

Pesuruhjaya PAS Selangor ketika ini ialah Sallehen Mukhyi yang juga ADUN Sabak dan daripada semua anggota yang dilantik itu hanya Khairuddin yang diketepikan.

Khairuddin dijadual berceramah di tapak pasar malam Paya Jaras malam ini.

Abdul Hadi berkata sesiapa yang menganggotai PAS akan tahu bahawa kedudukan sebagai ADUN adalah "kecik sangat" dan pada masa sama parti itu terus berkembang.

"Akar umbi kita kuat. Kalau orang cantas pokok, satu dahan dicantas, sepuluh lagi dahan bercambah,” katanya dengan gaya bahasa kiasan yang memang sinomim dengan beliau.


Baca Khairuddin: Mesra k’jaan Selangor punca PAS gugurkan saya


Abdul Hadi ditemui media di Hotel De Palma, Shah Alam malam tadi.

Khairuddin diberikan jawatan penting sebagai setiausaha perhubungan semasa PAS Selangor dikemudi Datuk Dr Hasan Ali, Dr Abd Rani Osman dan Datuk Iskandar A Samad.

Jawatan itu biasanya hanya diberikan seseorang pesuruhjaya kepada individu yang diyakininya dan komited kepada parti.

Semasa Pesuruhjaya PAS Sallehen Mukhyi menyusun saf pimpinan PAS Selangor pada 9 Mei tahun lalu, jawatan setiausaha perhubungan diisi oleh Abdul Halim Omar, manakala Khairuddin dilantik sebagai AJK biasa.

Lihat Komen
ADS