Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu oleh seorang peguambela, bahawa terdapat keterangan dari saksi pendakwaan bahawa anak guamnya, Naib Presiden Keadilan, Mohamed Azmin Ali, telah dipaksa dan diugut dengan kejam oleh pihak polis untuk memberi keterangan dalam tempoh tahanan reman.

C.V. Prabhakaran memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Kadir Musa bahawa keterangan itu diberitahu sendiri oleh seorang majistret di Mahkamah Majistret yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan di Mahkamah Sesyen sebelum ini, yang telah mengambil catatan semasa prosiding reman Azmin.

Beliau berkata demikian dalam kes rayuan terhadap sabitan dan hukuman 18 bulan penjara Azmin berhubung tuduhan memberi keterangan palsu empat tahun lalu.

Prabhakaran berhujah bahawa saksi itu dalam keterangannya terdahulu, menyatakan dia bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa kenyataan Azmin bahawa dia telah dipaksa dan diugut dengan kejam oleh pihak polis untuk membuat pengakuan mengenai bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah benar dan tiada keraguan.

Mahkamah Sesyen pada 2 Mei 2001, mensabitkan Azmin dengan tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan Anwar pada 9 Mac 1999 di Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyatakan kepada majistret bahawa tempoh tahanan reman terhadapnya tidak boleh dilanjutkan kerana tindakan dan ugutan polis ketika dia ditahan, adalah terlalu kejam dan memaksanya membuat pengakuan membabitkan Anwar.

Menurut laporan Bernama, Azmin memberitahu demikian ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul (kini Hakim Mahkamah Persekutuan).

Azmin didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Anwar pada ketika itu pula dibicarakan terhadap empat tuduhan menyalah guna kuasa mengikut Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1970.

Prabhakaran berkata, saksi (majistret) itu juga telah memberi keterangan bahawa keterangannya itu adalah suatu rumusan yang dibuat berdasarkan hujah dan apa yang disampaikan oleh Azmin semasa prosiding reman itu, dan bukanlah satu spekulasi semata-mata.

Azmin turut diwakili peguambela Christopher Fernando manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Shamsul Sulaiman. Pendengaran rayuan itu disambung 14 November.