mk-logo
Berita
Rakyat perlu hargai suara hati TMJ, kata pemimpin Umno
Diterbitkan:  Apr 8, 2018 6:13 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu politik semalam adalah pandangan ikhlas insan berpengaruh yang wajar dijadikan peringatan oleh rakyat, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Justeru beliau kesal melihat ramai yang membidas suara hati Tunku Ismail di media sosial.

"Ia pandangan ikhlas seorang Tengku Mahkota, bukan campur tangan istana dalam suasana politik tanah air. Ia wajar dihormati dan dihargai rakyat.

"Adab yang wajar untuk kita sebagai rakyat adalah mengambil teguran Tunku Ismail sebagai jalur jati diri kita dalam membuat keputusan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu kenyataan panjang di Facebook semalam, Tunku Ismail mengkritik "individu berumur 93 tahun ingin menjadi perdana menteri", yang jelas merujuk kepada Mahathir.

Ia di saat HARAPAN yang diketuai bekas perdana menteri itu dilihat giat meraih sokongan di Johor yang dianggap mereka sebagai antara negeri utama dalam PRU ke-14.

Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail juga bertitah bahawa kapal yang berjalan dengan baik selama puluhan tahun tidak perlu ditukar enjinnya hanya kerana memiliki nakhoda yang bermasalah.

"Duduk di dalam kapal yang sama, dan membimbing nakhoda tersebut dan beritahu ke mana kita mahu pergi," katanya.

Reezal berkata pandangan yang disuarakan Tunku Ismail bukan sahaja untuk penduduk Johor tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Setuju dengan kritikan Tunku Ismail terhadap politik individu "lidah bercabang", beliau berkata usaha "menghebatkan Malaysia" tidak boleh berdasarkan politik kesumat dan dendam.

"Ingatan Tunku Ismail tidak berakhir di sempadan siasah Johor, ia ingatan buat sekalian rakyat Malaysia.

"Dan setiap hati rakyat wajar terusik dengan teguran itu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS