Mampukah calon 'pisang goreng' PKR berdepan Nong Chik?
Dua pesaing utama bagi kerusi parlimen Lembah Pantai mempunyai banyak persamaan.
Keluarga kedua-dua calon kawasan parlimen itu merupakan pegawai kanan kerajaan, bersekolah di sekolah elit dan mendapat pendidikan di luar negara.
Mengambil jurusan akauntan di United Kingdom (UK), ketua Umno bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan berdepan dengan Ketua Pemuda PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
Fahmi mendapat pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dalam jurusan kejuruteraan kimia.
Bagi kedua-dua calon ini, kempen mereka menjelang pilihan raya umum lebih tertumpu kepada 'kawasan rakyat' seperti di Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum.
Kawasan ini mempunyai kira-kira 45 peratus penduduk.
Tetapi di sinilah persamaan mereka berakhir.
Bagi Nong Chik, strategi kempennya lebih kepada perkara yang boleh dilihat.
Beliau menghadiri beberapa karnival berskala besar, sesi ceramah serta jualan barangan kilang sepanjang hujung minggu berturut-turut berhampiran pangsapuri program perumahan rakyat (PPR).
Memandangkan beliau bakal calon Umno, kemunculan Nong Chik di acara-acara besar sering diapit oleh nama-nama besar seperti Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Malah, kadang-kadang kempennya itu turut disokong oleh agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ia dibuktikan apabila beberapa minggu lalu, MARA memilih PPR Kerinchi sebagai lokasi karnival pertama mereka dan ia merupakan satu-satunya karnival 'IMPAK' di Kuala Lumpur.

Pada karnival itu, Nong Chik merupakan tetamu kehormat walaupun beliau bukan seorang wakil rakyat mahupun memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Karnival itu juga menerima lebih 6,000 hadirin dan disajikan dengan pelbagai acara seperti kehadiran penyanyi Tomok dan Black, trak makanan serta orang ramai ramai turut berpusu-pusu untuk bermain permainan PlayStation.
Terdapat juga cabutan bertuah yang menawarkan fon kepala, telefon bimbit dan motosikal.
Malah, ruang yang menawarkan geran pelajaran dan keusahawanan juga diwujudkan semasa karnival berkenaan.
Rakyat diingatkan sumbangan MARA
Pada majlis itu, Nong Chik berterima kasih kepada MARA kerana memilih Lembah Pantai untuk mengadakan karnival berkenaan serta mengingatkan hadirin tentang sumbangan MARA kepada rakyat semasa bawah kerajaan BN.
"Semua cabutan bertuah tidak penting, apa yang penting ialah perkhidmatan MARA semasa di bawah BN diteruskan.
"MARA telah memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia dengan begitu baik.
"Tuan-tuan dan puan-puan, apabila anda di kotak undi, fikirkan tentang hasil dan keselamatan awam yang kita sedang nikmati sekarang. Semua ini diperjuangkan oleh BN.
"(Jadi) saya nak minta kepada anda, pada hari itu, boleh tak jika anda mengundi untuk BN, boleh tak?" kata Nong Chik dan disambut dengan sorakan kuat hadirin.

Nong Chik yang merupakan bekas senator dan menteri Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan bandar menggelarkan usahanya di Lembah Pantai sebagai "perjuangan peribadi untuk merealisasikan diri".
"Kami telah bekerja di sini selama hampir lima tahun untuk memenangi semula undi pengundi Lembah Pantai.
"Sentimen yang kita peroleh ialah, sesiapa yang menyokong pembangkang sebelum ini telah mula berubah (kepada BN) kerana selepas dua penggal, mereka (penduduk) tidak pernah nampak perkhidmatan yang dijanjikan kepada mereka," kata Nong Chik.

Pada pilihan raya umum ke-13, Nong Chik kalah dengan majoriti sebanyak 1,847 kepada penyandang kawasan parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Dalam tinjauan Malaysiakini, pengundi Lembah Pantai seolah-olah menunjukkan mereka lebih cenderung menyokong Nong Chik dan BN pada pilihan raya umum kali ini.
Bagi seorang penduduk PPR Kerinchi Amir Hamzah, 55, dia mendapati 'sifar pembangunan' sejak Nurul Izzah menjadi wakil rakyat Lembah Pantai 10 tahun lalu.
Sebaliknya, berbeza dengan Nong Chik, Amir (bawah) berkata ketua Umno Lembah Pantai itu sentiasa tampil setiap kali penduduk di kawasan itu memerlukan bantuan.

Malah, katanya lagi, Nong Chik juga berjanji untuk menyelesaikan masalah utama yang melanda penduduk kawasan berkenaan iaitu kekurangan tempat letak kereta- sekiranya beliau menang.
"Dia janji jika BN ambil alih Lembah Pantai, dia akan bina sebuah tempat letak kereta bertingkat di sebelah kawasan lapang di PPR Kerinchi kami," kata Amir.
Sementara itu, K Letchumy, 84, pula melahirkan rasa kecewa apabila Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR itu gagal membantu dirinya serta anaknya yang buta.
"Dia kata dia tidak ada wang kerana dia bukan dari kerajaan (Persekutuan).
"Di satu majlis BN pada hari yang lain, saya mendapat satu kotak barangan dan wang RM100," kata Letchumy (bawah) ketika ditemui di sebuah pasar di Taman Sri Sentosa.

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5 juta bagi anggota parlimen BN untuk mereka lakukan kerja-kerja di peringkat kawasan tetapi perkara itu tidak diberi kepada wakil rakyat pembangkang.
Pada pilihan raya umum kali ini, PKR dijangka tidak akan mencalonkan Nurul Izzah tetapi ia akan digantikan dengan Fahmi.
Walaupun Fahmi pertama kali bertanding di pilihan raya umum namun beliau bukan asing dalam dunia politik. Beliau telah menjadi ketua komunikasi PKR sejak September 2013.
Beliau juga berkhidmat sebagai ketua pemuda Lembah Pantai sejak empat tahun yang lalu.
Berbeza dengan Nurul Izzah (bawah) yang dikenali sebagai anak sulung bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dikenali sebagai 'puteri reformasi', Fahmi dilihat sedikit ke belakang dalam kempen bagi pilihan raya kali ini.

Penduduk tempatan yang berada di Pasar Sentosa memberitahu Malaysiakini, walaupun mereka menyokong pembangkang namun mereka tidak kenal siapa Fahmi walaupun ketika itu Fahmi sedang mengedarkan nasi lemak kepada mereka yang sedang berjalan di kawasan itu.
Lima orang yang didekati Malaysiakini juga tidak dapat menamakan nama Fahmi.
Bagaimanapun, sebahagian besar yang ditemui mengatakan mereka akan terus menyokongnya berdasarkan parti yang diwakili iaitu PKR.
"Saya tak pernah melihatnya (Fahmi) dan saya tak kenal dia. Tetapi saya akan menyokong dia sekiranya Nurul Izzah kata dia OK.
"Saya rasa orang akan lihat kepada parti bukan individu," kata seorang pesara Cheah Kok Ming ketika sedang menunggu giliran untuk menerima nasi lemaknya.
Seorang pesara Low Yong Son juga bersetuju dengan Cheah namun dia menambah, Fahmi kini berdepan dengan cabaran sengit apabila beliau akan menentang seorang individu yang popular serta mempunyai hubungan baik dengan masyarakat, iaitu Nong Chik terutamanya selepas BN kalah tipis dengan Nurul Izzah pada PRU lepas.
Berbeza dengan acara gilang-gemilang yang sering dilihat ketika Nong Chik bertemu dengan masyarakat, Fahmi pula bergantung kepada program berskala kecil seperti mengedar risalah di pasar, pemberian kerusi roda kepada yang memerlukan serta pelancaran jentera pilihan raya di kedai-kedai makan di tepi jalan.
Selain itu, Fahmi juga telah memulakan satu program bersiri iaitu "Goreng Pisang Havoc!" iaitu program yang menawarkan pisang goreng percuma kepada penduduk PPR.
Keberkesanan program berkenaan bagaimanapun dipertikai kerana kebanyakannya kanak-kanak yang mengunjungi 'gerai' itu.
Mereka kemudian akan membuang bungkusan makanan tersebut dengan muka Fahmi dicetak diatasnya sebelum ibu bapa kanak-kanak itu dapat melihatnya.
Selepas itu, di sebuah gerai di pinggir jalan di Abdullah Hukum, Fahmi kemudian bertemu dengan kira-kira 30 orang penduduk dan memperkenalkan dirinya serta bercakap mengenai dasar Pakatan Harapan (HARAPAN).
Bercakap kepada Malaysiakini, Fahmi mengakui beliau tidak dapat menandingi Nong Chik dari segi jentera dan sumber kewangan.
Bagaimanapun Fahmi menafikan beliau rasa terancam dan percaya rakyat Lembah Pantai telah belajar daripada perkara yang lalu dan mahukan "perubahan sebenar".
"Kita tidak boleh membandingkan (dengan Nong Chik), kita tidak ada wang dan kita tidak akan dapat permit.
"Cara yang kami lakukan di Lembah Pantai adalah untuk kita bertemu dengan orang ramai secara satu persatu... sebab mengapa kami beri pisang goreng ialah sebagai peluang untuk kita bertemu orang ramai.
"Saya tidak menawarkan apa-apa seperti yang mereka (BN) tawarkan. Apa yang saya tawarkan ialah sesuatu yang lebih besar, untuk jangka masa panjang, perkara sebenar dan sesuatu yang akan mengubah kehidupan mereka.
"Apa yang perlu kita lakukan ialah memperbaharui sistem... dan lihat apakah pekerjaan yang mampan bagi belia di kawasan seperti Abdullah Hukum.
"Kita lihat begitu banyak belia yang miskin yang menanggung keluarga mereka, bekerja sebagai dispatch dengan gaji RM1,200 sebulan.
"Bagaimana program besar seperti karnival dapat membantu mereka?
"Saya rasa bangga kerana BN sedang menabur sumber-sumber seperti ini tetapi saya fikir mereka gagal mengenali apakah perkara yang tersembunyi yang sering melahirkan rasa tidak puas hati berterusan di kalangan rakyat," kata pemuda berusia 37 tahun itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.