Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi ingatkan jentera PAS supaya ‘ribath’
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 12:32 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan jentera parti itu untuk “ribath” iaitu bersiap siaga untuk bertugas di mana-mana sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, jika petugas itu ribath, maka pahalanya akan berterusan sehingga ke hari kiamat.

“Allah menyuruh kita ribath, iaitu bertugas di tempat masing-masing. Asal perkataan ribath ini berada di perbatasan menjaga batasan dan meninggalkan keluarga.

“Ulama mentafsirkan ribath ini dengan makna kita bertugas dimana kita diletakkan dimana sahaja kita bertugas diletakkan.

“Sama ada jadi ketua, calon, pemimpin, anggota penerangan, jentera kempen, pengkibar bendera, tampal poster, jaga markas, ini yang dinamakan ribath. iaitu bertugas di tempat masing-masing, banyak hadis yang nyatakan kelebihan ribath.

“Kelebihan petugas ribath ini pahalanya berterusan sampai hari kiamat, tak ada kelebihan ini melainkan dalam perjuangan islam,” kata Abdul Hadi dalam amanat khas kepada seluruh jentera pilihan raya PAS yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Pada PRU14, PAS mensasarkan bertanding tidak kurang 130 kerusi parlimen melalui gabungan Gagasan Sejahtera.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki berkata PAS mempunyai jentera di 95 kawasan parlimen dan kesemua jentera itu juga akan membantu semua calon yang bertanding dibawah gabungan gagasan sejahtera.

Perjuangan Islam

Sementara itu Abdul Hadi juga berharap agar anggota jenteranya terus bersabar dalam menghadapi ujian dalam perjuangan.

“Kita perlu bersabar menghadapi diri kita, jemaah kita dan keluarga kita sendiri yang dianggap melemahkan perjuangan Islam namun kita tak boleh menyebabkan berpisah antara satu sama lain, mesti kuatkan saf dengan jati diri yang kuat,” katanya.

Katanya, Allah telah banyak menunjukkan kisah dalam al-Quran iaitu jika seseorang itu mempunyai harta kekayaan, kelengkapan dalam perjuangan namun tidak mempunyai jati diri maka mereka akan menemui kegagalan.

“Allah perintah kita sediakan kelengkapan sekadar kemampuan kita.

“Sama ada kekuatan jumlah, yang sedikit walaupun tak sebanyak yang musuh walaupun sediakan kewangan sekadar kemampuan yang ada pada kita. Allah mengetahui apa yang tersirat,” katanya.

Menurut beliau, selain itu, kemenangan dalam perjuangan adalah pemberian dari Allah dan jika seseorang jentera itu ikhlas dan niatnya betul dalam perjuangan maka mereka boleh mencapai kemenangan di dunia dan akhirat.

“Kita bersyukur kerana kita berada dalam perjuangan islam. Yang tentukan kemenangan adalah Allah walaupun ada sebab manusia tapi pertolongan Allah lebih penting. Sebab itu Allah menyuruh kita bergantung kepadanya sepanjang masa.

“Allah takkan tanya kenapa kita tak menang tapi dia tanya kita beramal atau tidak, yang penting tunaikan amal itu dengan niat ikhlas, nawaitu betul dan selepas itu Allah tunaikan janjinya, Allah tak pernah mungkir janji dunia akhirat

“Percayalah kita boleh menang dengan janji Allah dunia akhirat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS