Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kesahihan kerajaan sementara BN yang menggandakan jumlah pemberian BR1M, lapor akhbar berbahasa Inggeris The Star, hari ini.

Katanya, kewajipan kerajaan sementara hanya terhad kepada tugas-tugas pentadbiran sehingga kerajaan baru dibentuk selepas pilihan raya.

Azmin mempersoalkan bagaimana kerajaan sementara boleh mengumumkan bantuan tunai tambahan sedangkan ini tidak termasuk dalam Bajet 2018.

"Insentif tambahan BR1M tidak diumumkan semasa Bajet 2018. Kabinet telah dibubarkan dan kamu hanya kerajaan sementara.

"Bagaimana peruntukan tambahan boleh diumumkan sedangkan ia tidak ada dalam bajet negara?" soalnya yang dipetik pada sebuah majlis semalam.

Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR berkata, bahawa kerajaan sementara dilarang daripada membuat komitmen kewangan.

"Satu-satunya pengecualian adalah jika sesuatu bencana atau mala petaka - maka ada peruntukan untuk bertindak dalam tempoh ini.

"Jika tidak, mereka tidak boleh meluluskan sebarang kontrak, tender atau membuat apa-apa kewajipan kewangan," kata Azmin.

Pada pelancaran manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 pada Sabtu lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa beliau akan menggandakan pemberian BR1M kepada pelbagai kumpulan. Wang itu dijadual dibayar pada bulan Jun dan Ogos tahun ini.

Selain daripada penambahan jumlah, Najib juga mengumumkan kategori baru penerima BR1M - iaitu isi rumah yang memperoleh pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 - yang sebelum ini tidak layak mendapat pemberian itu.

Pengumuman itu disambut baik oleh kira-kira 15,000 orang yang hadir pada majlis itu, dengan ada yang mengakui bahawa wang tambahan berkenaan akan meyakinkan pengundi atas pagar untuk menyokong BN.

Parlimen dibubarkan pada Sabtu lalu dan pilihan raya mesti diadakan dalam masa 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya belum lagi mengumumkan tarikh untuk PRU14.