Suhaimi didesak adakan sidang GPMS sebelum akhir tahun ini
Sebanyak dua pertiga anggota majlis tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menandatangani satu petisyen bagi mendesak supaya persidangan agung kali ke-53 gabungan tersebut diadakan sebelum akhir tahun ini.
Sebanyak dua pertiga anggota majlis tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menandatangani satu petisyen bagi mendesak supaya persidangan agung kali ke-53 gabungan tersebut diadakan sebelum akhir tahun ini.
Timbalan Presidennya, Shahril Rejab berkata, petisyen itu dijangka dihantar kepada Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad Khamis ini.
Beliau berkata, petisyen itu dibuat kerana Presiden GPMS Datuk Suhaimi Ibrahim belum menetapkan tarikh persidangan dengan memberikan pelbagai alasan bagi menangguhkanya.
Mereka melihat tindakan presiden itu sebagai bertujuan untuk kekal berkuasa, katanya.
"Beliau memberi alasan untuk membuat senarai ahli di GPMS di seluruh negara tetapi persoalannya kenapa selepas sembilan tahun baru nak buat...saya rasa sudah cukuplah tiga penggal untuknya menerajui GPMS," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran GPMS Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.
Sokongan
Menurut laporan Bernama, Shahril berkata, GPMS mempunyai 35 anggota majlis tertinggi dengan 12 daripadanya dilantik sendiri oleh presiden.
Katanya, berdasarkan kepada keadaan sekarang, mereka yang mahukan arus perubahan dalam kepimpinan GPMS amat jelas, dengan sembilan GPMS negeri menunjukkan sokongan secara terbuka.
Wakil GPMS daripada sembilan negeri itu Terengganu, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Perlis, Selangor dan Wilayah Persekutuan turut hadir di majlis berkenaan.
Mengenai pertandingan bagi merebut jawatan presiden, beliau meminta Suhaimi berundur secara baik dan dalam penuh suasana kekeluargaan bagi meneruskan keadaan harmoni dalam pertubuhan itu.
Beliau berkata, majoriti pemimpin GPMS peringkat negeri sudah memberi sokongan terbuka terhadap naib presiden Rizal Merican Naina Merican bagi menerajui gabungan itu.
Shahril sendiri mengumumkan tidak akan bertanding pada pemilihan akan datang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.