PAS yakin tiada lagi ADUN akan lompat, Azmin kata tak pasti
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi yakin tiada lagi ADUN dari parti berkenaan yang akan keluar menyertai parti lain mengikut jejak Mohd Khairuddin Othman, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Mengulas keputusan Mohd Khairuddin yang keluar daripada PAS dan menyertai PKR, katanya, tindakan berkenaan sememangnya telah dijangka dan dapat dibaca oleh barisan kepimpinan parti berikutan tindakannya yang tidak hadir dalam banyak program anjuran parti berkenaan.
“Tindakan dia (Mohd Khairuddin) keluar (daripada PAS) tidak membawa apa-apa kesan kepada PAS, kami sudah pun mempunyai calon muda dan profesional untuk diletakkan bertanding di kawasan DUN Paya Jaras pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
“Anggota PAS di sana telah bersedia berjuang untuk mempertahankan kerusi DUN ini,” katanya yang dipetik oleh Bernama hari ini.
Dalam ceramah Pakatan Harapan di Sungai Buloh malam tadi, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha PAS Selangor meninggalkan PAS dan menyertai PKR.
Dalam pada itu, ketika ditanya jika terdapat lagi ADUN Selangor akan lompat parti menjelang PRU14, Azmin yang juga adalah menteri besar sementara berkata sekiranya ada ia pasti dilakukan atas pertimbangan mereka sendiri.
“Saya tak pasti jika ada yang mahu lompat parti sebab saya tidak mahu buat spekulasi.
“Cuma saya yakin keputusan mereka (ADUN), jika ada mahu lompat parti ia dibuat atas alasan tertentu atau mungkin sebab ingin terus menyokong kerajaan negeri,” katanya yang juga dipetik oleh Bernama.
Terdahulu, Mohamed Azmin mengumumkan pembubaran DUN Selangor berkuat kuasa hari ini susulan pembubaran Dewan Rakyat pada Sabtu lepas bagi membolehkan PRU14 diadakan.
Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas PRU13.

