Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahrizat: Rakyat boleh nilai tindakan Rafidah
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 9:09 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyerahkan kepada rahyat untuk 'menilai' pendirian yang diambil bekas ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz terhadap parti pemerintah.

Laman BNBBC (Kelab Penyokong BN) memetik Shahrizat memberitahu sidang akhbar bahawa kritikan Rafidah berpunca kerana beliau tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan tetapi enggan mengulas lanjut.

"Rakyat boleh menilai kenapa beliau buat begitu. Saya yakin rakyat Malaysia ada kebijaksanaan untuk membuat satu kesimpulan kenapa buat reaksi seperti itu.

“Kalau dah lama berkuasa, bila dah tak ada di jawatan itu dia terasa. Kita hormat orang tua. Jadi saya tak mahu komen lebih,” kata Shahrizat sebagaimana dipetik laman itu.

Rafidah merupakan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri kebelakangan ini lantang menyuarakan isu-isu negara.

Antara isu-isu yang disentuh beliau termasuklah pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), rampasan kapal peranginan mewah Equanimity dan kurangnya tindak balas kerajaan terhadap berita berkaitannya serta skandal 1MDB.

Beliau juga pernah menafikan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Rafidah 'meroyan' selepas kalah pemilihan Umno kepada Shahrizat.

Rafidah bertegas beliau sudah terlibat politik selama separuh abad dan tidak berminat memegang jawatan parti dan kerajaan. Beliau juga memberi amaran kepada Nazri untuk tidak mempersoalkan hak beliau untuk menyuarakan isu yang melibatkan negara.

Lihat Komen
ADS