Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) negeri bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Hari ini kami melancarkan manifesto BN Sarawak untuk melengkapi manifesto BN diumumkan sebelum ini oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), dan apa yang lebih penting ialah untuk memastikan aspirasi semua rakyat di Sarawak menjadi kenyataan,” kata pengerusi BN negeri itu semasa melancarkan manifesto itu di ibu pejabat Parti Pesaka Bumpitera Bersatu (PBB) Sarawak di Kuching.

Bertema “Mentransformasi Sarawak Menerusi Ekonomi Digital”, ia menggariskan enam teras dengan yang pertama mengikrarkan bahawa kerajaan negeri akan terus melindungi hak-hak Sarawak dan memulihara keharmonian, dan keduanya adalah untuk terus menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan pendidikan lebih baik.

Kerajaan negeri juga berjanji untuk terus berusaha meningkatkan transformasi luar bandar dan, untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, serta akan mengusahakan peluang-peluang baharu bagi kemajuan dan kemakmuran berterusan.

Teras keenam pula mengandungi janji kerajaan negeri untuk terus mengamalkan tadbir urus baik dan berintegriti.

Abang Johari seterusnya mengikrarkan sokongan padu negeri kepada perdana menteri, susulan kebanyakan akujanji BN akan memanfaatkan Sarawak, khususnya dalam bidang seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan dan perkara yang dekat di hati Sarawak – “Perjanjian Malaysia1963” (MA63).

Manifesto BN diumumkan perdana menteri dua hari lepas, antara lain mengandungi akujanji bahawa hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 akan direalisasikan menerusi konsensus, dan untuk mengembalikan hak kawalan ke atas elektrik dan gas di kedua-dua negeri.

Abang Johari berkata di bawah inisiatif penurunan kuasa, kerajaan negeri telah mencapai 13 perkara setakat ini, dan lagi pun perdana menteri juga bersetuju bagi penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk merundingi hak-hak negeri Sarawak dalam MA63.

Menurut buku kecil manifesto yang diedarkan pada majlis itu, kerajaan negeri kini turut giat memperjuangkan empat perkara.

Perkara pertama merujuk kepada hak untuk mengembalikan semula Status Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia pada asalnya dan hak ke atas Minyak dan Gas yang melangkaui Ordinan Minyak dan Perlombongan dan ke atas pelancongan, manakala perkara kedua melibatkan usaha mendapatkan lebih banyak hak di bawah inisiatif penurunan kuasa.

Perkara ketiga merujuk kepada semakan kewangan, melibatkan peningkatan geran khas daripada kerajaan persekutuan seperti ditetapkan dalam perlembagaan persekutuan dan yang terakhir berkaitan semua hak-hak lain negeri yang telah terhakis selepas 1963.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS