Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malaikat boleh tolong undi PAS dengan izin Allah'

PRU14 | PAS menempelak sesetengah musuh politik mereka yang beranggapan parti itu tidak akan mampu memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 selepas tidak lagi bekerjasama dengan parti lain.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, bagi PAS mereka meletakkan keyakinan bahawa Allah akan memberi kemenangan dalam mana-mana perjuangan menegakkan Islam.

Mengambil iktibar dalam peristiwa Perang Badar katanya, Allah membantu tentera Islam dengan menghantar malaikat berkuda dan bersenjata pedang untuk memerangi musuh.

"Allah kalau nak tolong kita, seribu cara dia buleh tolong walaupun (kita hanya) masuk pilihan raya, bukan berperang.

"Allah boleh tolong macam mana? Ambo (saya) nak buat contoh mudah. Kalau Perang Badar dulu Allah hantar malaikat bawa pedang, naik kuda pergi berperang bersama orang Islam.

"Habis lari tentera kapir walaupun mereka ramai, tentera Islam hanya 313 orang. Mereka lari sebab nampak tentera Islam yang ramai, ramai datang dari mana?

"Itulah malaikat Allah, Allah hantar nak bagi kegerunan kepada tentera kafir," katanya ketika berceramah di Kampung Kemumin,di Kota Bharu, malam tadi.

Malaikat bawa IC

Turut sepentas dengan Nor Azariza ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan penyandang anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin.

Meneruskan ceramahnya Nor Azariza berkata, kisah-kisah karamah mujahidin berperang dibantu malaikat ini cukup banyak berlaku dalam sejarah perang umat Islam.

"Ambo tak ada masa nak cerita, cuma ambo nak sebut Allah ada banyak cara nak tolong hambanya yang memperjuangkan agama.

"Kalau dulu dalam Perang Badar Allah boleh hantar malaikat bersenjatakan pedang, berkuda dan berperang sekali dengan tentera Islam.

"Jadi dalam pilihan raya boleh tak Allah hantar malaikat bawa IC (kad pengenalan) beratur pergi mengundi? Boleh tak? Senang sangat adik-kakok (tuan-tuan dan puan-puan)," katanya.

Jelasnya lagi, susulan ramai pengundi luar yang dikhabarkan enggan pulang mengundi di Kelantan tidak mustahil jika Allah hantar malaikat menyerupa golongan tersebut untuk mengundi.


Baca Surat Rafizi dari kandang tertuduh


"Allah boleh hantar malaikat menyerupai sesiapa yang tak balik mengundi. Pegang IC, berdiri dan beratur di depan kita.

"Kita tegur nampak (muka) kawan kita si Man, selepas mengundi sebelah petang kita terjumpa ayah Man tadi. Kita tanya ayahnya, Man dah balik KL ke? Ayah dia jawab Man tak balik pun.

"Jadi Man yang kita jumpa masa mengundi itu siapa? Kita pula berpeluh. Siapa tadi? Itulah malaikat kalau Allah nak bawa turun malaikatnya dalam keadaan begitu.

"Boleh tak adik-akak Allah nak buat begitu? Boleh sangat-sangat," katanya.

Beliau turut menjelaskan situasi pada PRU 1990 yang memenangkan PAS dengan 39 kerusi pernah disebut bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai seolah-olah ada persefahaman antara malaikat di langit dan pengundi di bumi.

Nor Azariza menegaskan, tidak sukar bagi Allah sekiranya mahu memberi pertolongan.

Katanya, hati para mengundi juga boleh berubah dalam sekelip mata dengan izin Allah walaupun seseorang itu bukan di kalangan penyokong tegar PAS.

Lihat Komen
ADS