Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ramal HARAPAN berkonflik di Paya Jaras
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 9:53 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

PRU14 | PAS Selangor menganggap kemasukan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras sementara, Mohd Khairuddin Othman ke PKR tidak memberi kesan besar kepada parti itu.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad kesan perpindahan Khairuddin - yang pernah menjadi setiausaha PAS Selangor itu - hanya terhad kepada DUN Paya Jaras sahaja dan tidak ke kawasan yang lain.

Sehubungan itu, Iskandar yang merupakan ADUN Chempaka turut menafikan dakwaan yang mengatakan terdapat ADUN lain PAS yang akan keluar parti lagi.

“Kesan perpindahan ADUN Paya Jaras adalah terhad kepada kawasan Paya Jaras sahaja.

“Ia tidak akan memberi kesan yang besar kepada PAS di kawasan-kawasan lain di Selangor.

“Saya yakin tidak ada lagi ADUN PAS Selangor yang akan menyeberangi ke PKR atau parti-parti lain.

"Oleh itu dakwaan bahawa terdapat ADUN yang akan keluar parti adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, Malaysiakini melaporkan, Khairuddin mengumumkan meninggalkan PAS untuk masuk PKR dalam satu ceramah di Sungai Buloh.

Khairuddin dijangka mempertahankan kerusi Paya Jaras untuk parti barunya itu.

PAS akan menang lagi

Sebelum ini, bekas anggota perhubungan PAS Selangor itu digugurkan daripada jawatankuasa parti kerana didakwa “mesra” dengan kerajaan negeri serta tidak bersetuju dengan pendekatan pertandingan tiga penjuru menjelang pilihan raya umum.

Selain itu, dalam kenyataan sama, Iskandar berkata sebagai naib presiden yang ditugaskan memantau Selangor, PAS negeri diminta mengemukakan laporan lengkap tentang kemasukan Khairuddin ke dalam PKR.

Iskandar berkata lagi PAS yakin akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras kerana mendakwa kemasukan Khairuddin ke PKR hanya akan menimbulkan konflik dalaman Pakatan Harapan (HARAPAN).


Baca Dan Paya Jaras pun memilih 'mata'...


Ini kerana, menurutnya, sekiranya Khairuddin dicalonkan semula di kerusi Paya Jaras, calon dari Parti Amanah Negara (AMANAH) yang bercita-cita untuk bertanding di DUN itu akan kecewa dan perkara itu akan menimbulkan krisis.

“Saya yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras.

“Kemasukan ADUN Paya Jaras akan menimbulkan konflik dalaman kepada Pakatan Harapan jika bekas ADUN Paya Jaras itu dicalonkan semula, maka AMANAH akan kehilangan kerusi tersebut.

“Ini bermakna calon AMANAH yang bercita-cita untuk bertanding di situ akan kecewa. Krisis akan tercetus dan boleh merebak ke tempat-tempat lain,” ujar Iskandar lagi.

Lihat Komen
ADS