Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU-14: MB, KM BN tiba di Seri Perdana
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 11:44 AM
Dikemaskini: 4:46 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengadakan pertemuan dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri daripada Barisan Nasional (BN) di kediaman rasmi, Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, pagi ini.

Difahamkan pertemuan tersebut berkaitan dengan persediaan dan persiapan serta agihan kerusi BN bagi menghadapai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sejak pukul 9 pagi hari ini kelihatan kenderaan rasmi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memasuki perkarangan Kompleks Seri Perdana.

Sementara itu, tumpuan seluruh rakyat Malaysia hari ini juga terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mesyuarat khas itu bermula pada pukul 10 pagi ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya yang dipengerusikan pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (foto, atas).

Mesyuarat yang dijangka berlangsung kira-kira dua jam itu antaranya turut dihadiri Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood; Setiausaha, Datuk Abdul Ghani Salleh dan lima anggota SPR.

Mesyuarat itu membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian serta daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRU-14 dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Dalam pada itu, pihak media mula berkumpul di ibu pejabat SPR itu sejak pukul 8 pagi lagi bagi membuat persediaan liputan sidang media itu.

Kawalan keselamatan di perkarangan ibu pejabat SPR turut diperketatkan dengan penghadang besi diletakkan di sekeliling bangunan tersebut.

Sepasukan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut kelihatan mengawal bangunan tersebut.

Najib pada Jumaat lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu lalu bagi memberi laluan kepada PRU14.

Lihat Komen
ADS