DAP menasihati Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak mengunakan istilah 'keling' kerana perkataan itu mungkin dianggap menghina masyarakat India.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy berkata Mahathir mungkin tidak mempunyai niat menghina masyarakat berkenaan tetapi penggunaan kata-kata seumpama itu boleh dimanipulasi pihak tertentu untuk tujuan politik.

"Memandangkan beliau menyertai perjuangan kami untuk menyelamatkan Malaysia, Mahathir telah melakukannya dengan baik dan telah mendapatkan sokongan orang Melayu kepada kita.

"Bagaimanapun, adalah wajar untuk beliau tidak menggunakan kata-kata seperti itu yang mana mungkin menghina, bukan hanya kepada masyarakat India tetapi kepada orang lain juga," kata Ramasamy kepada Malaysiakini.

Anggota jawatankuasa eksekutif DAP itu berkata, beliau sendiri tidak menganggap perkataan 'keling' sebagai menghina, tetapi ia sering digunakan untuk memperlekeh masyarakat India.

Ramasamy berkata kontroversi seperti itu tidak baik bagi HARAPAN ketika gabungan itu kini di ambang pilihan raya umum ke-14, yang mungkin diadakan pada Mei selepas Parlimen dibubarkan Sabtu lalu.

Ramasamy merujuk kritikan Mahathir terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu lepas yang berkata: "Saya nak guna perkataan Keling. Orang Keling kata, 'podah'."

Perkataan 'keling' dipercayai berasal dari kerajaan India kuno, Kalinga.

Masyarakat Hokkien di kawasan utara juga merujuk masyarakat India sebagai 'kelinga' dan biasa dengan perkataan 'podah', yang kadang-kala digunakan untuk membantah perbuatan atau idea yang tidak dapat diterima.

Bagaimanapun, perkataan itu menyinggung beberapa pihak termasuk Makkal Sakti yang membuat empat laporan polis terhadap Mahathir.

[Baca berita penuh]