GLOBAL I Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, pada Isnin berkata tunjuk perasaan besar-besaran anti-Israel yang sedang berlangsung akan diteruskan sehingga matlamatnya tercapai, lapor agensi berita China Xinhua.

"Salam kepada para pahlawan yang melakukan konfrontasi sebagai lanjutan kepada kebangkitan popular (Intifada) di bumi bertuah ini dalam usaha mendapatkan kebebasan serta mengembalikan semula seluruh tanah Palestin," katanya di Bandar Gaza, yang terletak beberapa ratus meter dari pagar keselamatan sempadan antara Gaza dan Israel.

Tarikh 30 Mac, yang merupakan Hari Tanah Palestin, adalah permulaan kepada tunjuk perasaan anti-Israel selama enam minggu.

Ia akan memuncak pada 15 Mei, sehari selepas ulang tahun ke-70 deklarasi kemerdekaan Israel yang disebut penduduk Palestin sebagai Nakba Day, atau "Hari Bencana."

"Kami akan kembali ke Palestin serta kampung halaman kami dan akan kembali ke Baitulmaqdis serta membawa rakyat kami dari semua kawasan pelarian dan diaspora ke bumi bertuah ini," katanya kepada orang ramai.

Dua pertiga daripada penduduk Palestin, termasuk seorang wartawan dan dua kanak-kanak, telah terbunuh manakala sejumlah 2,850 orang lagi cedera sejak 30 Mac, menurut kementerian kesihatan di Gaza.

Tunjuk perasaan beramai-ramai yang dikenali sebagai "Great March of Return," mendesak agar semua pelarian Palestin diberikan hak untuk kembali ke kampung halaman mereka yang telah diduduki rejim Israel.

-Bernama