Kerajaan cuci tangan dalam pertikaian mengenai AP
Terjemahan Pertikaian yang yang lanjutan di antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung isu Permit Import (AP) kereta, adalah soal peribadi, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Terjemahan Pertikaian yang yang lanjutan di antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung isu Permit Import (AP) kereta, adalah soal peribadi, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Sewaktu sesi soal-jawab pagi ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat isu sebenar membabitkan kedua-dua mereka.
Menurutnya, hubungan antara Dr Mahathir dan Rafidah sama ada baik atau tidak adalah soal peribadi mereka berdua.
Bagaimanapun, tugas dan tanggungjawab rasmi kerajaan tidak terjejas, katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa).
Menurutnya, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengambilalih tugas menyediakan draf Dasar Automatif Negara (NAP).
Media melaporkan hari ini yang Abdullah akan membincangkan soal NAP itu dalam mesyuarat kabinet esok.
'Arahan diberikan'
Dalam soalan tambahannya, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) menyanggah jawapan Nazri itu, sambil berkata, perkara tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai 'soal peribadi' tetapi ianya membabitkan prinsip-prinsip pentadbiran kerajaan.
Katanya, Dr Mahathir telah mendedahkan kandungan surat-surat yang ditulis oleh menteri berkenaan kepadanya atas arahan kabinet, yang mengandungi tujuh fakta utama, termasuk mengenai status 'kereta nasional' Naza.
"Adakah perkara ini tidak penting? Jika seorang menteri boleh berbohong kepada seorang bekas perdana menteri, apakah tidak mungkin dia juga boleh berbohong kepada perdana menteri sekarang dan kepada Dewan Rakyat? Memandangkan Mahathir berkata Proton boleh 'tutup kedai' (jika ada yang mahukannya), ini merupakan perkara yang berkepentingan awam, (mengenai) integriti dan kredibiliti kerajaan," katanya.
Dalam jawapannya, Nazri berkata, kabinet pada mulanya menyarankan supaya Rafidah membuat penjelasan kepada Dr Mahathir sebagai tanda hormat,dan juga supaya perkara itu tidak berlanjutan.
Katanya, banyak perkara yang boleh diselesaikan jika Dr Mahathir dan Rafidah berjumpa, tetapi tidak, kecuali melalui surat, menyebabkan isu tersebut telah berlanjutan.
"Ini adalah soal peribadi yang mereka perlu selesaikan," kata Nazri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal Parlimen.
Lim mencelah dan bertanya sama ada kabinet akan mengarahkan Rafidah berjumpa Dr Mahathir.
"Seperti yang saya katakan, beliau telah menulis kepada Dr Mahathir. Apa yang berlaku antara mereka tiada kena mengenai dengan kita, ianya soal peribadi...apa yang relevan pada kita ialah NAP dan (perdana menteri) telah mengambil perkara tersebut.
Raja Ahmad Zainuddin Omar (BN-Larut) pula bertanya sama ada Dr Mahathir begitu kecewa sehingga beliau dilapor menyarankan supaya Proton ditutup "jika itulah yang rakyat mahu".
Nazri menjawab, bukan mudah untuk menutup Proton kerana industri tersebut menyokong 300,000 pekerja dan isu tersebut juga membabitkan "maruah" kerajaan. Beliau mencadangkan pihak-pihak terbabit supaya membincangkan perkara tersebut secara rasional.
'Selamatkan Proton'
Mohd Yusof (BN-Jasin) pula berkata, adalah menjadi aspirasi rakyat Malaysia untuk melihat Proton terus maju.
"Tidak kira apa juga langkah yang diambil oleh kerajaan (untuk menyelamatkan Proton), kita di dewan ini akan menyokongnya. Sesiapa yang menghalang kerajaan daripada berbuat demikian adalah pengkhianat," kata ahli Parlimen Jasin itu.
Sehubungan itu, Nazri berkata, kerajaan akan berusaha sedaya upayanya untuk 'menyelamatkan Proton'.
Rafidah menjadi sasaran kritikan hebat sejak empat bulan lalu ekoran dakwaan Dr Mahathir yang pengeluaran AP untuk mengimport kereta mewah, hanya mengkayakan segelintir individu dan menjejaskan industri kereta nasional.
Matlamat asal pemberian AP itu adalah untuk membantu bumiputera bertapak dalam industri kereta, tetapi akibat ketidaktelusan dalam pemberiannya, Rafidah berdepan dengan dakwaan kronisme dan rasuah.
Sehubungan itu, beberapa pihak telah mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu supaya meletakkan jawatan./ Berita asal

