Wan Saiful: 'Terima kasih', Johari Ghani
Wan Saiful Wan Jan mengucapkan 'terima kasih' kepada anggota parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani kerana mengambil “tindakan serta merta” berhubung isu ujian HbA1c bagi pesakit kencing manis.
Pemimpin muda pembangkang itu bagaimanapun berkata perkembangan baru berkenaan hanya berlaku selepas beliau membangkitkan isu tersebut.
Wan Saiful, yang disebut-sebut sebagai calon Pakatan Harapan di parlimen sama, berkata beliau mendapat sepucuk surat rasmi kerajaan bertarikh 4 April yang tidak lagi membataskan ujian itu hanya setahun sekali.
"Saya ucap terima kasih kerana serta merta selepas saya timbulkan isu ini, satu arahan lain dikeluarkan bertarikh 4 April 2018.
"Sebaik sahaja saya menimbulkan isu ini, tiba-tiba bajet baru dapat ditemui untuk membolehkan pesakit menjalani dua ujian setahun.
"Walaupun ini hanya separuh daripada standard yang ideal, saya tetap ucapkan tahniah kepada Johari kerana reaksi pantas terhadap komentar saya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujian makmal HbA1c (hemoglobin A1c, haemoglobin A1c terglikosilat, glikohemoglobin A1c atau ujian A1c) bertujuan menentukan purata kandungan glukosa dalam darah pesakit kencing manis dalam dua hingga tiga bulan.
Ia bagi memastikan glukosa sentiasa berada di bawah tujuh peratus.
Wan Saiful sebelum ini mendakwa menerima sepucuk surat menyatakan terdapat pemotongan bajet kesihatan sehingga ujian HbA1c dihadkan.
Surat itu dikatakan dikeluarkan kepada pegawai-pegawai kesihatan kerajaan di Titiwangsa, Kepong, Cheras, Putrajaya dan Lembah Pantai.
Sementara itu, Wan Saiful berkata Johari sebelum ini mungkin terlupa menyemak fakta apabila menafikan jumlah ujian itu dihadkan kepada sekali setahun.
"Beliau terlupa menyemak fakta lengkap sebelum bercakap. Adakah Johari nak kata bahawa surat ini juga berita palsu?
"Cukup-cukuplah berhelah. Kalau dah dipotong, mengaku sahajalah dipotong dan terlepas pandang.
"Johari perlu bertanggungjawab kerana kebajikan rakyat telah tergadai akibat kegagalan memberi perhatian sewajarnya kepada kesihatan rakyat biasa, termasuk di kawasan beliau sendiri," kata Wan Saiful lagi.
Malaysiakini telah menghubungi seorang pegawai yang ditugaskan memberi penjelasan lanjut berkaitan perkara itu tetapi beliau enggan mengulasnya.
Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan pengesahan pihak berkuasa terbabit berkaitan perkara itu.

