Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang sokongan kaum India semasa beliau menerajui negara ini.

Justeru, katanya, Mahathir tidak patut menggunakan perkataan 'Keling', yang tidak menyenangkan kaum itu, walaupun tujuannya untuk menyerang pihak lain, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sengaja saya nak kenang balik, sepanjang 22 tahun beliau menjadi PM, kaum India sangat setia menyokong beliau walaupun tidak banyak dasar-dasarnya yang membela nasib kaum India.

“Apabila atuk Mahathir tetap guna perkataan yang agak melampau itu, beliau seakan mahu menunjukkan jika menjadi PM sekali lagi, kaum India akan sekali lagi dipinggirkan,” kata pembantu isteri perdana menteri Rosmah Mansor itu.

Mahathir pada 7 April menggunakan istilah Keling yang dianggap memperlekehkan orang India itu dalam kecamannya terhadap SPR.

"Pagi ini kita dengar konco-konco (Najib), termasuk pengerusi SPR berkata kononnya untuk guna satu simbol kita kena merangkak dan menyembah orang ini untuk mendapatkan kebenaran.

"Saya nak guna perkataan keling. Orang keling kata, 'podah',” katanya dalam majlis kutipan dana di Muar.

Menulis di Facebook, Rizal berkata perkara itu berbeza sama sekali dengan pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya banyak membela dan berusaha menaikkan taraf hidup kaum India di Malaysia.

“Lihat sahaja manifesto BN untuk PRU14, Datuk Seri Najib mahu kaum India terus maju bersama-sama kaum lain, bukan seperti atuk M (Mahathir) yang hanya pentingkan kroni dan anak-anak beliau sahaja,” katanya.