Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘R.A.B.U - Rakyat Akan Buang Umno' jadi tular
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 2:34 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa tarikh pengundian untuk pilihan raya umum ke-14 ditetapkan pada Rabu, 9 Mei, satu ungkapan baru menjadi tular di media sosial.

Warga maya menjadikan “Rabu” sebagai akronim - “Rakyat Akan Buang Umno”.

Antara mereka yang berkongsi perkataan Rabu itu adalah bekas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang menulis: "Pahlawan sangat la tu, set hari undi hari kerja. Apa-apapun: Rakyat Akan Buang UMNO (RABU). "

Kenyataan pahlawan itu ditujukan kepada perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak, yang menggambarkan dirinya sebagai "pahlawan Bugis".

Keputusan SPR untuk menetapkan hari mengundi pada hari bekerja mengundang rasa tidak puas hati bukan sahaja daripada pemimpin pembangkang, tetapi juga pelbagai NGO dan rakyat kebanyakan termasuk warga maya.

Mereka mendakwa SPR sengaja cuba menyukarkan para pengundi, terutama mereka di bandar untuk kembali ke kawasan atau kampung masing-masing untuk mengundi di pedalaman.

Pemilihan hari bekerja juga menimbulkan spekulasi bahawa BN dan Umno gusar dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi mungkin tidak akan memihak kepada mereka.

Pilihan raya akan datang digambarkan sebagai "ibu segala pilihan raya " dengan Najib dan bekas mentor bertukar menjadi seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad bertarung bagi mendapatkan undi Melayu.

Mahathir, yang mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan, yakin bahawa tsunami Melayu akan menumbangkan Najib dan BN.

Walau bagaimanapun, pemimpin Umno yakin ini tidak akan berlaku dan pengundi Melayu kekal bersama parti pemerintah.

SPR dalam sidang akhbar hari ini juga mengumumkan bahawa penamaan calon untuk 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi undangan negeri akan diadakan pada 28 April.

Lihat Komen
ADS