Barisan Alternatif perlu mengkaji sokongan golongan minoriti terhadap gabungan itu bagi memastikan kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang, saran seorang pensyarah Universiti Malaya yang rapat dengan pakatan itu.

Barisan Alternatif perlu lakukan satu analisa sokongan golongan minoriti. Mengapa mereka takut (untuk) menyokong Barisan Alternatif?" kata Prof KS Jomo, semasa sesi dialog selepas pembentangan kertas kerjanya di konvensyen ekonomi anjuran Pemuda BA pagi tadi.

Menurutnya, BA pada masa kini "lemah" untuk mendapatkan sokongan golongan minoriti.

"Masalah golongan minoriti perlu diambil kira kerana apabila disatukan, mereka akan menjadi jumlah yang cukup besar," katanya.

Golongan minoriti itu termasuklah kaum India, serta suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak, tambahnya.

Jomo juga berkata kekalahan pembangkang dalam pilihanraya lalu kerana "faktor 3S" iaitu Selatan, Sabah dan Sarawak.

"Sokongan terhadap BA di negeri-negeri selatan (Semenanjung) masih lemah, terutamanya Johor. Manakala penguasaan (BA) di Sabah dan Sarawak tidak begitu berjaya," jelasnya.

Beliau juga menegaskan, gabungan pembangkang perlu mengambil langkah proaktif untuk menarik sokongan daripada wanita, yang membentuk 50 peratus pengundi.

"Dan untuk itu isu berkaitan wanita perlu ditangani. Sebagai contoh, masalah wanita di sektor perkilangan - 54 peratus daripada mereka menerima purata gaji yang lebih rendah daripada pekerja lelaki," jelasnya di konvensyen itu yang diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS, Gombak.

Mengulas isu-isu ekonomi, Jomo berkata masyarakat perlu 'rasa was-was'dengan sistem kewangan negara kita pada masa kini.

"Ini kerana kegawatan yang dialami negara baru-baru ini (krisis kewangan Asia sejak 1997) adalah akibat secara langsung dasar yang diamalkan sebelum ini," katanya.

Kemelesetan ekonomi

Menurutnya lagi, dasar penswastaan yang didakwa bertujuan membantu orang Melayu sebenarnya "palsu belaka" kerana pemilikan syarikat yang diswastakan itu dimonopoli oleh pihak tertentu saja yang rapat dengan pemimpin-pemimpin parti pemerintah.

"Dan kini syarikat yang diswastakan satu masa dulu telah meminta kerajaan membelinya semula untuk diselamatkan daripada liabiliti (hutang) yang semakin banyak," katanya, sambil menyebut syarikat seperti Time dotCom, Renong, United Engineers Malaysia (UEM) dan MAS.

Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar, dalam ucapannya di majlis itu, menjangka kemungkinan kemelesetan ekonomi menimpa negara ini pada tahun ini.

"Kalaupun tidak meleset, ekonomi Malaysia dijangka hanya akan merekodkan pertumbuhan amat rendah sekitar dua hingga tiga peratus," katanya, unjuran ini turut disokong kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Jepun dan beberapa lain seperti Singapura.

Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, ekonomi negara harus mengurangkan import makanan, yang menjangkau RM10 bilion, dengan mempergiatkan sektor pertanian.

"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pengaliran wang keluar negara," katanya, yang kini ditahan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem Kamunting, Perak. Kertas kerjanya dibacakan oleh timbalannya Mustafa Kamil Ayub.

Ezam membidas dasar ekonomi sekarang dan menyifatkannya sebagai "amat tidak bertanggungjawab."

"Mereka (pemimpin kerajaan) mengamalkan konsep ekonomi 'belanja dulu, bayar kemudian'. Tetapi bukan mereka yang membayar hutang-hutang itu, tetapi kita (rakyat)," katanya, dan menambah hutang kerajaan dan swasta negara ini mencecah angka RM1,000 bilion.

"Berapa tahunkah (masa diperlukan), maka hutang ini baru dapat dilunaskan?"