Menara KLCC 'hilang', Dr M senyum lebar
Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan geli hati apabila mengetahui Menara Berkembar Petronas 'hilang' daripada gambar berlatarkan langit Kuala Lumpur seperti dipaparkan dalam manifesto BN.
Ditanya mengenai gambar yang diubah suai itu, bekas perdana menteri itu tersenyum ketika Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulas isu berkenaan, sebelum ia berakhir dengan deraian ketawa.
"Saya tak fikir mereka sangat pintar. Saya ingin minta mereka supaya tidak berdiri dekat air, kerana kalau kamu padamkan muka kamu, kami masih dapat lihat diri kamu di dalam air.
"Tetapi akan ada banyak perkara lagi.
"Saya diberitahu bahawa ada gambar saya dan (DAP veteran Lim Kit Siang) dengan 'roket' di tengah-tengah. Sudah tentu, ini adalah propaganda," katanya pada sidang media di Petaling Jaya petang ini.
Gambar yang berlatarkan langit tanpa imej menara KLCC itu boleh dilihat pada halaman 17 manifesto BN yang dilancarkan Sabtu lalu.
Bagaimanapun, bayang-bayang bangunan ikonik yang menjadi mercu tanda dan gagasan Mahathir itu masih boleh dilihat pada tasik dalam gambar berkenaan.
Netizen mempersoalkan sama ada tindakan itu bertujuan untuk menghapuskan legasi Mahathir.
Mahathir berkata beliau percaya ada lebih banyak propaganda seumpama itu yang akan dilakukan terhadap HARAPAN.
Katanya, foto bersama Lim misalnya digunakan untuk menggambarkan beliau berada di bawah telunjuk DAP, walaupun beliau dipilih sebagai pengerusi HARAPAN dan calon bagi jawatan perdana menteri.

