Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Senarai calon Terengganu hanya akan dimuktamadkan Najib
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 4:27 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini menafikan senarai calon Terengganu yang tular dalam aplikasi WhatsApp adalah calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, ini kerana senarai calon masih belum dimuktamadkan dan masih dalam pertimbangan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Memang senarai calon telah dimuktamadkan oleh negeri (Badan Perhubungan Umno negeri Terengganu) tapi masih lagi diteliti (di peringkat pusat), mungkin minggu ini akan selesai.

"Senarai calon yang akhir sekali, yang paling muktamad hanya ada pada Presiden Umno (Najib)...selagi presiden tak beri lagi pada saya, maksudnya belum selesai. Apabila presiden sudah serahkan kepada pengerusi badan perhubungan Umno negeri, barulah senarai itu dikira muktamad, jadi kita tunggu sahaja senarai yang akan diumumkan nanti," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan penyebaran senarai nama calon itu dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku terutama dalam situasi yang agak 'panas' ketika ini.

"Tak pernah lagi berlaku sebelum ini ada senarai calon yang dikeluarkan (disebar) lebih awal. Jadi, tunggu sahajalah senarai calon yang betul yang akan diumumkan oleh Presiden. Saya dimaklumkan oleh YAB Presiden bahawa senarai calon itu akan diumumkan lebih awal," katanya.

Baru-baru ini, tersebar senarai nama calon untuk 32 kawasan Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen di Terengganu yang menghangatkan lagi teka-teki senarai nama yang sebenar menjelang majlis pengumuman calon tidak lama lagi. -Bernama

Lihat Komen
ADS