Ketika teknologi berkembang, terutama dalam menghadapi Industri 4.0, apakah yang akan berlaku kepada masa depan profesion kewartawanan?

Dua perkataan: "Kewartawanan Robotik" memberi gambaran mengenainya.

Penggunaan perisian atau platform yang secara automatik menghasilkan naratif menggunakan algoritma pintar secara besar-besaran seolah-olah berita itu dihasilkan oleh manusia.

Percaya atau tidak, teknologi tersebut telah digunapakai di Kuala Lumpur hampir satu dekad dan kini digunakan oleh beberapa syarikat media.

China menggunakan robot Kecerdasan Buatan, Xiaomingbot, yang menghasilkan beratus-ratus berita yang merangkumi Sukan Olimpik Rio pada 2016.

Google, menyumbang kira-kira 800 ribu dollar kepada agensi berita nasional UK, Press Association untuk skim Data dan Robot (Radar).

Walaupun kebanyakannya digunakan bagi agensi berita dan akhbar dalam talian pada lewat 2017, berita pertama dihasilkan oleh robot yang dihasilkan oleh Press Association telah muncul dalam media cetak dalam apa yang dikatakan sebagai yang pertama bagi kewartawanan

Associated Press (AP) ialah antara agensi berita perintis yang memanfaatkan teknologi itu pada 2014 bagi pelaporan kewangan.

AP dilaporkan berjaya menghasilkan 12 kali lebih banyak berita menggunakan teknologi itu berbanding pelaporan secara manual dengan kadar kesilapan yang berkurangan dan kecekapan yang lebih baik.

Bagaimanapun, apa yang dilaporkan oleh Los Angeles Times menjadi tajuk utama tahun lepas apabila Quakebot tersalah lapor mengenai gempa bumi bermagnitud 6.8 melanda pantai Santa Barbara, California – dan ini membuktikan bahawa mesin juga boleh membuat kesilapan.

Tetapi bagaimanakah ini akan memberi kesan kepada kerjaya sebagai wartawan pada masa depan memandangkan teknologi ini dikatakan boleh menjimatkan hampir 50 peratus kos operasi?

Seorang penganalisis bebas Ken Doctor, yang membuat kajian mengenai industri berita berkata, kemunculan robot yang menghasilkan berita adalah produk hasil peredaran masa — daripada segi teknologi dan ekonomi industri berita yang menghadapi kegawatan.

Beliau berkata robot hanyalah satu lagi alat bagi kewartawanan baharu kerana kewartawanan hari ini menjadi profesion yang berkemahiran lebih tinggi.

Beliau berkata robot tidak akan bersaing dengan wartawan tetapi sebenarnya menjadi rakan mereka dengan menyediakan perenggan yang padat dengan data yang wartawan kemudian boleh melengkapkan laporan berita itu dengan analisis sendiri, sekaligus menghasilkan laporan hibrid yang lebih baik daripada yang dihasilkan oleh manusia secara sendirian.

Justeru, Ahn Sang Soon, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dari Korea, M-Robo, berkata syarikat itu telah memperkenalkan perisian “kewartawanan robot” bagi meningkatkan kecekapan dan ini adalah lebih baik daripada kemungkinan wartawan hilang kerja.

“Saya fikir wartawam akhbar tidak akan hilang kerja tetapi wartawan ini mungkin boleh menggunakan sistem pengekodan dan kemudian mereka boleh mengkaji bagaimana untuk bekerja bersama-sama dengan wartawan robot," kata Soon.

Walaupun kewartawanan robotik adalah lebih efisien untuk penghasilan berita dengan maklumat terkini yang cepat dilaporkan, wartawan harus melakukan apa yang terbaik dilakukan oleh wartawan iaitu menganalisis, menemubual, menyiasat dengan menggunakan kepakaran mereka untuk memberi komen dan bertanya soalan.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa berkata, akhirnya “audience” yang disasarkan masih manusia yang mempunyai perasaan dan emosi.

"Sebab apa yang kita tak mampu ubah ialah kita punya audience. sama ada media cetak, elektronik atau digital, masih lagi manusia. Manusia mempunyai perasaan, emosi. Mereka seronok untuk membaca atau melihat kalau kita berjaya mengadunkan elemen-elemen ini dalam kita punya penceritaan," kata beliau.

Beliau yakin bahawa pekerjaan sebagai wartawan terus relevan jika merea tahu bagaimana untuk berkembang dan mendepani perubahan.

-Bernama