Berapa bilangan sebenar pengundi pos?
Diterbitkan: Apr 10, 2018 7:27 PM | Dikemas kini: Apr 10, 2018 7:29 PM
Pembangkang menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bilangan sebenar pengundi pos pelbagai kategori.
Ini termasuk pemilih pos di luar negeri mengikut negara, pemilih pos yang menjadi penjawat awam kategori 11 jabatan yang diwartakan serta petugas-petugas media.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Ismail juga menuntut SPR menjelaskan mekanisme bagi menjamin pengundian pos tidak terdedah kepada penipuan dan manipulasi.
Ini khasnya mekanisme bagi memantau sampul undi pos benar-benar diterima oleh pengundi pos dan dipangkah oleh mereka.
“Sehubungan itu, saya menggesa supaya SPR mewujudkan mekanisme aduan bagi membolehkan mana-mana pengundi pos bagi membuat aduan jika mereka tidak menerima sampul undi pos mereka,” katanya.

