PRU14 | Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin berkata tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang telah ditetapkan adalah tepat bagi menghormati umat Islam yang bakal menyambut Ramadan.

Anina yang merupakan presiden NGO Empirical Malaysia dan dilihat cenderung menyokong BN berkata, tarikh mengundi pada 9 Mei yang jatuh pada hari Rabu lebih sesuai berbanding hari Sabtu dan Ahad yang jatuh pada 11 dan 13 Mei.

"Mengikut kalendar Islam, 1 Ramadan pada tahun ini dijangka jatuh pada hari Selasa 15 Mei 2018.

"Mengikut amalan biasa, umat Islam akan melakukan persiapan Ramadan seperti membeli stok makanan, mencuci kediaman serta masjid dan surau pada Jumaat, Sabtu dan Ahad yakni pada 11 Mei hingga 13 Mei 2018.

"Ini menjadi kan Sabtu dan Ahad tersebut tidak sesuai untuk dijadikan hari pembuangan undi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Anina lagi, dia percaya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil kira faktor-faktor berkaitan dalam menetapkan tarikh itu.

"Mudah-mudahan PRU tahun ini berjalan lancar dan sempurna bagi 14.7 juta pengundi," katanya.

SPR dalam sidang media awal hari ini mengumumkan hari pembuangan undi untuk PRU ke-14 adalah pada hari Rabu, 9 Mei dengan penamaan calon pada 28 April.

Untuk rekod, tiga pilihan raya sebelum ini diadakan pada hari Sabtu atau Ahad.

Sehubungan itu, badan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH mempertikai tarikh itu yang dijadualkan pada hari bekerja dan menyifatkan tindakan SPR itu "berniat jahat dan menentang kepentingan demokrasi".

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan berkata tiada keperluan mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum kerana undang-undang sedia ada sudah menetapkan agar majikan memberikan masa kepada pekerja untuk mengundi.

Nur Jazlan turut menyelar pengerusi Pakatan Harapan yang mengkritik tarikh berkenaan dan menjelaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad pernah lakukan hal yang sama ketika menjadi perdana menteri.